ERLING Haaland (kiri) antara tonggak penting Man City musim ini. FOTO AFP
ERLING Haaland (kiri) antara tonggak penting Man City musim ini. FOTO AFP
AFP

London: Manchester City menjadi pilihan utama untuk menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali kelima dalam tempoh enam musim namun mereka dijangka berdepan tugas sukar apabila berkunjung ke Everton, Ahad ini.

Everton di bawah bimbingan Sean Dyche berjaya keluar dari zon penyingkiran selepas meraih kemenangan meyakinkan 5-1 di Brighton awal minggu ini.

Rekod Everton menentang City kurang memberangsangkan apabila seri 1-1 pada Disember lalu ketika di bawah bimbingan Frank Lampard, yang mengendalikan kelab itu selepas megnalami 10 kekalahan berturut-turut dalam semua pertandingan.

Kelab Merseyside itu, yang hanya dua mata di atas zon penyingkiran dengan berbaki tiga perlawanan, perlu terus berjuang untuk mengelak daripada tersingkir.

Sementara itu, bos Arsenal, Mikel Arteta sudah menyatakan barisan pemainnya tidak berputus asa untuk menjulang gelaran Liga Perdana selepas mereka mencatat kemenangan 2-0 ke atas Newcastle minggu lalu.

Arsenal, dengan berbaki tiga perlawanan lagi, boleh mencapai maksimum 90 mata jika menewaskan Brighton, Nottingham Forest dan Wolves.

City, satu mata di hadapan The Gunners dan kurang satu perlawanan, memerlukan sembilan mata untuk mengesahkan kejuaraan, walaupun perbezaan gol mereka jauh lebih baik.

Anak buah Pep Guardiola menghadapi cabaran yang lebih sukar apabila bakal menentang Chelsea, Brighton dan Brentford selepas kunjungan mereka ke Goodison Park.

Manchester United pula akan kembali ke Old Trafford, esok dan sangat memerlukan kemenangan apabila menentang Wolves ketika mereka berusaha untuk menghalang Liverpool daripada menduduki kelompok empat teratas liga.

Anak buah Erik ten Hag sudah sebelah kaki meraih tiket Liga Juara-Juara musim depan namun kekalahan di tangan Brighton dan West Ham kembali menyukarkan misi mereka itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2023 @ 9:30 AM