ANGGOTA tentera menahan dua lori membawa muatan bawang di Ladang Kelapa Sawit Empaling, Kampung Stass, Bau, malam tadi. FOTO Ihsan MK PMTTD.
ANGGOTA tentera menahan dua lori membawa muatan bawang di Ladang Kelapa Sawit Empaling, Kampung Stass, Bau, malam tadi. FOTO Ihsan MK PMTTD.
Mohd Roji Kawi


Kuching: Tindakan penyeludup menggunakan dua lori mengangkut sejumlah bawang Holland melalui 'jalan gajah' di Ladang Kelapa Sawit Empaling, Kampung Stass, Bau untuk diseludup ke negara jiran, membawa padah selepas ditahan malam tadi.

Kegiatan itu berjaya dikesan sepasukan anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui operasi di bawah formasi Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen) pada jarak kira-kira 400 meter dari sempadan Malaysia- Indonesia.

Jurucakap Sel Operasi Media, Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (MK PMTTD) berkata, kehadiran dua lori yang mencurigakan itu dikesan kira-kira jam 9.30 malam.

"Selepas ditahan, anggota melakukan pemeriksaan dan mendapati kedua-dua kenderaan dipandu oleh lelaki tempatan yang berumur 32 tahun dan 53 tahun," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati salah sebuah lori itu membawa muatan sebanyak 5,300 kilogram bawang Holland dianggarkan bernilai RM26,500, manakala sebuah lagi membawa muatan sebanyak 7,000 kilogram bawang Holland yang dianggarkan bernilai RM35,000.

"Semua hasil rampasan termasuk dua lori itu dianggarkan berjumlah RM181,500.

"Barang rampasan serta dua lelaki tempatan yang ditahan kemudian diserahkan kepada pihak Balai Polis Bau untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Menurutnya lagi, TDM akan terus komited memperketatkan kawalan di persempadanan Malaysia-Indonesia bagi memastikan kedaulatan negara terus terpelihara dari sebarang bentuk pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI), kegiatan penyeludupan mahupun jenayah rentas sempadan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2024 @ 12:57 PM