BARISAN pegawai perlawanan yang mengadili aksi KDA FC dengan Sri Pahang. FOTO KDA FC
BARISAN pegawai perlawanan yang mengadili aksi KDA FC dengan Sri Pahang. FOTO KDA FC
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mendapati pengadil perlawanan Liga Super Sri Pahang FC menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Darul Aman baru-baru ini melakukan kesilapan sekali gus menafikan skuad Tok Gajah untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata.

Penolong Setiausaha Agung FAM, Abang Zulkarnain Abang Abdurahman berkata, laporan daripada Penilai Pengadil menyatakan bahawa terdapat kesalahan dilakukan oleh pengadil dalam membuat beberapa keputusan termasuk membatalkan jaringan pasukan Sri Pahang FC.

"Biarpun tidak menerima sebarang surat aduan daripada Sri Pahang FC, Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil telah melakukan siasatan, penelitian dan analisis menerusi rakaman video, dan mendapati bahawa memang terdapat kesalahan dilakukan oleh pegawai perlawanan.

"Jawatankuasa Pengadil FAM seterusnya akan mengambil tindakan tegas termasuk tindakan penggantungan daripada sebarang tugasan perlawanan terhadap pegawai itu," katanya.

Ketua Jurulatih Sri Pahang, Christophe Gamel berkata, pasukannya seakan-akan 'dirompak' selepas kalah 0-1 kepada KDA FC.

Sekurang-kurangnya dua gol skuad Tok Gajah dibatalkan kerana berlaku kekasaran selain pemain berada pada kedudukan ofsaid.

Sementara itu, hasrat Kuala Lumpur (KL) City FC untuk mendapat pembelaan sewajarnya membabitkan perlawanan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) tempoh hari boleh dilupakan apabila FAM mendapati pengadil tidak membuat sebarang kesalahan sepanjang tempoh 90 minit.

Abang Zulkarnain berkata, pengadil perlawanan membuat keputusan tepat melayangkan kad merah kepada pemain pertahanan tuan rumah Kenny Pallraj.

"Laporan daripada Penilai Pengadil menyatakan bahawa tiada kesalahan dilakukan oleh pengadil dalam membuat keputusan untuk melayangkan kad merah kepada pemain pertahanan itu.

"Pada masa sama, FAM tidak menerima sebarang surat aduan daripada KL City FC," katanya.

Pada perlawanan Rabu lalu menyaksikan skuad kendalian Benjamin Mora meneruskan rentak kemenangan apabila menewaskan pasukan The City Boys 3-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.

Namun, insiden kekasaran yang dilakukan Kenny pada babak kedua menyebabkan dia dilayangkan kad kuning kedua sebelum diberikan kad merah menyebabkan KL City FC beraksi 10 pemain hampir setengah jam perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2022 @ 4:30 PM