PEMAIN Kedah, Willian Lira (kanan) diasak pemain Sri Pahang FC, Mohamad Fadli Mohd Shas (tengah) di Stadium Darul Makmur. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
PEMAIN Kedah, Willian Lira (kanan) diasak pemain Sri Pahang FC, Mohamad Fadli Mohd Shas (tengah) di Stadium Darul Makmur. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Asrol Awang


Kuantan: Sri Pahang FC sekadar mengutip satu mata selepas seri 1-1 berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.

Jaringan pada masa kecederaan oleh pemain gantian, Jonathan Reis memastikan Kedah berjaya membawa pulang satu mata di tempat lawan.

Pada perlawanan itu, kedua-dua pasukan tidak banyak memberi ancaman dan melakukan percubaan tepat ke gawang dalam usaha mendapatkan gol pendahuluan. Gandingan kali pertama dua penyerang import tuan rumah, Kpah Sherman dan Lucas Silva tidak banyak yang dapat dilakukan ketika kubu Kedah kekal bertahan.

Peluang terbaik tuan rumah hadir menerusi percubaan penyerang import, Lucas tetapi berjaya diselamatkan oleh penjaga gol lawan, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi pada minit ke-40.

Selang dua minit, Silva sekali lagi memiliki peluang untuk menjaringkan gol pendahuluan tetapi bola rembatannya dalam kotak penalti ditepis Kalamullah.

Pelawat hanya menguji benteng tuan rumah pada masa kecederaan separuh masa pertama menerusi rembatan Manuel Ott tetapi bola tersasar melepasi palang yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 0-0.

Bersambung babak kedua, skuad kendalian Fandi Ahmad lebih banyak memberi tekanan kepada pemain pertahanan lawan.

Tekanan itu menyebabkan gawang lawan dibolosi selepas tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali pada minit ke-62.

Pemain pertahanan Sri Pahang, Stefano Brundo yang mengambil sepakan itu mudah menyempurnakannya sekali gus mendahului 1-0.

Pada minit ke-86, Sri Pahang mendapat sepakan penalti selepas Sherman dijatuhkan di dalam kotak penalti tetapi Silva yang mengambil tugas itu gagal menyempurnakan apabila bola melepasi palang.

Ketika tuan rumah seakan mampu untuk mengutip tiga mata di halaman sendiri, jaringan Reis pada masa kecederaan memastikan Kedah mengutip satu mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2023 @ 12:11 AM