PEMAIN pertahanan KDA FC, Bojan Ciger (tengah) diasak dua pemain Sri Pahang FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman, malam ini. FOTO BERNAMA
PEMAIN pertahanan KDA FC, Bojan Ciger (tengah) diasak dua pemain Sri Pahang FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman, malam ini. FOTO BERNAMA
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman (KDA) FC bangkit menewaskan Sri Pahang FC, 2-0, pada aksi ke-19 Liga Super di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.

Dua jaringan dihasilkan penyerang, Ifedayo Olusegun dan pemain sayap, J Partiban itu terus mengukuhkan kedudukan Sang Kenari di tangga ketiga Liga Super dengan jumlah 40 mata.

KDA FC membuka jaringan seawal minit keempat selepas lontaran bola oleh Ariff Farhan ke dalam kotak penalti lawan gagal ditanduk keluar dengan kemas oleh pertahanan Sri Pahang.

Kesempatan itu disempurnakan Ifedayo untuk menewaskan penjaga gol Sri Pahang, Izham Tarmizi melalui rembatan kari kirinya.

Sri Pahang cuba bangkit dengan larian dan serangan deras oleh penyerang, Kpah Sherman pada minit ke-10, namun percubaannya tersasar di atas palang gol.

KDA FC yang terus mencuba dengan gerakan pantas akhirnya menambah jaringan melalui Partiban yang menolak bola masuk bola ke gawang skuad Tok Gajah, empat minit sebelum tamat babak pertama selepas percubaan Manuel Ott gagal ditampan kemas oleh Izham Tarmizi.

Sri Pahang mendapat peluang terbaiknya melalui sepakan percuma berhampiran kotak penalti KDA FC pada minit ke-50, namun sepakan pemain import, Kevin Ingreso berjaya diselamatkan Kalamullah Al-Hafiz.

Kalamullah Al-Hafiz sekali lagi tangkas menyelamatkan gawang Kedah apabila menepis keluar percubaan sepakan percuma Kuvondik Ruzief pada minit ke-67.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 11:16 PM