FANDI Ahmad pada sidang media. FOTO Asrol Awang
FANDI Ahmad pada sidang media. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Perasaan terkilan tidak dapat disembunyikan pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad selepas seri 1-1 berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Darul Makmur, malam tadi.

Legenda bola sepak Singapura itu berkata, kealpaan di penghujung perlawanan menyebabkan skuad Tok Gajah terlepas tiga mata selepas mendahului lawan 1-0.

"Kelalaian pada dua minit terakhir sangat menghampakan kerana berdasarkan prestasi pasukan terutama pada babak kedua, kita seharusnya mendapat tiga mata. Namun, bukan rezeki kita biarpun memiliki banyak peluang untuk menambahkan jaringan dan pada masa sama lawan juga bermain dengan bagus," katanya.

Pada perlawanan itu, Fandi juga tidak mahu menyalahkan Lucas Silva apabila penyerang importnya itu gagal menyempurnakan sepakan penalti.

Katanya, sebagai pemain, Silva seharusnya menyempurnakan tetapi menerima hakikat skuad itu sekadar mengutip satu mata di halaman sendiri.

Pemain pertahanan Sri Pahang, Stefano Brundo menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke-62 sebelum pemain gantian, Jonathan Reis memastikan Kedah membawa pulang satu mata di tempat lawan selepas menjaringkan gol pada masa kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2023 @ 12:42 PM