KLINSMANN sedia membimbing Korea Selatan. FOTO AP
KLINSMANN sedia membimbing Korea Selatan. FOTO AP
Reuters

Seoul: Bekas jurulatih Amerika Syarikat (AS), Jurgen Klinsmann, dilantik menjadi ketua jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan Korea Selatan sehingga Piala Dunia 2026.

Persatuan Bolasepak Korea (KFA) mengumumkan pelantikan berkenaan semalam.

Klinsmann mengambil alih tugas Paulo Bento, yang meletak jawatan selepas Korea Selatan disingkirkan Brazil dalam saingan 16 terakhir Piala Dunia 2022.

"Saya tahu bahawa pasukan kebangsaan Korea Selatan bertambah baik dan mencapai keputusan memberangsangkan sudah sekian lama," kata Klinsmann, 58, dalam satu kenyataan.

"Saya berbesar hati untuk mengikut jejak langkah jurulatih hebat yang pernah mengetuai pasukan kebangsaan Korea Selatan, daripada Gus Hiddink kepada pengendali sebelum ini, Paulo Bento.

"Saya tidak sabar untuk melakukan yang terbaik untuk membantu pasukan mencapai kejayaan pada Piala Asia dan Piala Dunia 2026 akan datang."

Klinsmann mempunyai rekod kejurulatihan yang panjang.

Beliau melatih pasukan kebangsaan Jerman dari 2004 hingga 2006, dengan kemuncak selepas menduduki tempat ketiga di Piala Dunia 2006.

Beliay membimbing Bayern Munich (2008-09) sebelum melatih pasukan AS dari 2011-16.

Dalam peranan itu, beliau melakar rekod 55-26-16 dan membawa AS ke pusingan 16 terakhir pada Piala Dunia 2014 tetapi disingkirkan dua tahun kemudian di tengah-tengah permulaan buruk untuk layak ke Piala Dunia 2018.

Pasukan itu tidak layak ke Piala Dunia 2018, buat kali pertama sejak 1986 menyaksikan beliau mengambil keputusan mengundur diri.

Berasal dari Jerman, Klinsmann akan membuat penampilan pertama sebagai jurulatih Korea Selatan pada 24 Mac dalam perlawanan persahabatan di tempat sendiri menentang Colombia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2023 @ 10:15 AM