SON meraikan jaringan pertamanya. FOTO AP
SON meraikan jaringan pertamanya. FOTO AP
Reuters

Ulsan: Jurulatih Korea Selatan Juergen Klinsmann memuji kapten, Son Heung-min selepas penyerang Tottenham Hotspur itu menjaringkan kedua-dua gol ketika seri 2-2 dengan Colombia di Ulsan, semalam.

Son mengharungi musim yang sukar di Liga Perdana tetapi masih mampu menjaringkan dua gol ketika Korea Selatan kali pertama di bawah bimbingan Klinsmann.

"Saya sangat gembira setiap kali Sonny menjaringkan gol," kata Klinsmann, yang dilantik sebagai pengganti Paulo Bento pada penghujung Februari.

"Sebagai penyerang, inilah yang anda cari. Dia mempamerkan aksi yang hebat. Dia mempunyai kebebasan untuk bergerak. Selagi dia tahu matlamat sebenarnya, saya gembira."

Son bergelut untuk mengulangi prestasi yang menyaksikannya menamatkan saingan sebagai penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris musim lalu, tetapi dia meletakkan Korea Selatan di depan seawal minit ke-10 dan menambah gol kedua pada masa kecederaan separuh masa pertama.

Bagaimanapun, Korea Selatan gagal memberikan Klinsmann kemenangan apabila jaringan James Rodriguez dan Jorge Carrascal pada lima minit pertama separuh masa kedua menyaksikan Colombia meraih keputusan seri.

Walaupun gagal meraih kemenangan, bekas jurulatih AS dan Jerman itu masih berpuas hati dengan prestasi barisan pemainnya selepas hanya meluangkan masa terhad bersama skuadnya itu.

"Dalam beberapa hari sahaja, saya melihat banyak perkara yang baik. Permainan mereka sangat bagus," kata Klinsmann.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mac 2023 @ 12:29 PM