KLINSMAAN dipecat oleh Persatuan Bolasepak Korea. FOTO AFP
KLINSMAAN dipecat oleh Persatuan Bolasepak Korea. FOTO AFP
AFP

Seoul: Jurgen Klinsmann dipecat sebagai jurulatih Korea Selatan, hari ini, susulah kekalahan kepada Jordan pada aksi separuh akhir Piala Asia dan pendedahan mengenai pergaduhan antara pemain berstatus bintang.

Bekas penyerang Jerman berusia 59 tahun itu yang juga pemenang Piala Dunia sebagai pemain, menggalas jawatan itu hanya kurang setahun.

"KFA telah memutuskan untuk menukar ketua jurulatih kebangsaan selepas penilaian menyeluruh," kata Presiden Persatuan Bolasepak Korea, Chung Mong-gyu.

"Klinsmann gagal mempamerkan keupayaan mengurus dan memimpin yang diharapkan daripada ketua jurulatih kebangsaan dalam perkara terdiri daripada taktik, pengurusan kakitangan kepada sikap kerja dan lain-lain yang diperlukan untuk memberi daya saing dalam pasukan.

"Sikap dan daya saing Klinsmann sebagai ketua jurulatih tidak dapat memenuhi harapan orang ramai dan ia dilihat tidak mampu diperbaiki pada masa hadapan.

"Jadi kami memutuskan untuk menukar kepimpinan menjelang perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026," katanya lagi.

Klinsmann berkata ia adalah "perjalanan yang luar biasa" dan mengucapkan terima kasih kepada semua barisan pemain dalam satu hantaran di media sosial, sejurus sebelum dipecat.

Ketika penyokong dan media Korea Selatan menuntut Klinsmann dipecat, jawatankuasa pasukan kebangsaan KFA semalam bersetuju bahawa perubahan kepimpinan dalam pasukan perlu dirombak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 3:13 PM