PEMAIN KL City meraikan kejayaan selepas menjuarai Perlawanan Piala Menteri Wilayah Persekutuan 2023 dengan menewaskan Perak FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, malam tadi. FOTO Bernama
PEMAIN KL City meraikan kejayaan selepas menjuarai Perlawanan Piala Menteri Wilayah Persekutuan 2023 dengan menewaskan Perak FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, malam tadi. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Semua pasukan Liga Super harus berwaspada dan tidak boleh mengambil mudah tentangan Kuala Lumpur City FC (KL City) dalam saingan musim ini.

Dengan kehadiran beberapa tonggak import terbaik seperti Herlison Caion dan Kipre Tchetche serta mengekalkan sebahagian besar skuad musim lalu yang muncul naib juara Piala AFC dilihat mampu menjadi pencabar utama terutama kepada Johor Darul Ta'zim (JDT), Selangor FC, Terengganu FC dan Sabah FC.

Malah, kemenangan selesa 3-0 ke atas Perak FC dalam aksi perebutan Piala Menteri Wilayah Persekutuan yang berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras malam tadi dianggap masih belum mencapai tahap sebenar KL City.

Pengendali pasukan, Bojan Hodak berkata, beliau meletakkan sebanyak 60 peratus prestasi anak buahnya ketika ini dan berharap ia akan meningkat ke 100 peratus sebelum sepak mula Liga Super hujung bulan ini.

"Kami masih boleh perbaiki beberapa perkara seperti bahagian tengah kerana kami agak longgar ketika perlawanan tadi.

"Selain itu, kami juga perlu perbaiki lagi penyudah, serangan dan hantaran di kotak lawan," katanya pada sidang media selepas perlawanan dengan Perak FC itu.

Dalam aksi itu, tiga tonggak importnya iaitu Caion, Paulo Josue dan Giancarlo Gallifuoco mencetak nama selaku penjaring.

Ujarnya lagi, kemenangan ke atas skuad The Bos Gaurus itu bukan mudah di mana lawan yang menggunakan ramai pemain muda berjaya memberi cabaran kepada pemainnya.

"Ia satu perlawanan sukar kerana pemain kami masih belum cukup cergas berbeza dengan Perak yang sudah memulakan latihan pramusim lebih awal.

"Bukan mudah menentang mereka kerana ramai pemain muda yang sentiasa berlari dan saya dapat rasakan banyak pasukan akan menghadapi masalah apabila menentang Perak nanti," katanya yang membimbing KL City menjulang Piala Malaysia pada 2021 lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2023 @ 4:03 PM