DE Gea gagal menepis sepakan percuma menarik Olise.  FOTO AFP
DE Gea gagal menepis sepakan percuma menarik Olise. FOTO AFP
AFP

London: Erik ten Hag mengkritik Manchester United yang kekurangan 'naluri pemusnah' selepas sepakan percuma menarik Michael Olise pada masa kecederaan membolehkan Crystal Palace seri 1-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi.

Skuad Ten Hag mendahului menerusi jaringan Bruno Fernandes pada babak pertama di Selhurst Park dalam usaha mereka memburu rekod kemenangan paling panjang dalam tempoh 14 tahun.

Namun Olise meranapkan impian United yang menang sembilan perlawanan berturut-turut menerusi rembatan lencung menewaskan David de Gea ketika permainan hampir tamat.

Ten Hag jelas kecewa selepas pasukannya gagal melonjak ke tangga kedua EPL dan seterusnya menekan pendahulu, Arsenal menjelang kunjungan ke Stadium Emirates, Ahad ini.

"Apabila anda hampir menang dan Palace tidak mencipta sebarang peluang kecuali satu daripada sepakan sudut dan satu lagi sepakan percuma, anda tidak menjangka keciciran mata," kata Ten Hag.

"Kami perlu lebih tajam untuk gol kedua dan kemudian mengelak situasi yang merugikan. Pada babak kedua kami ada banyak ruang untuk menamatkan mereka dan mendapatkan gol kedua.

"Saya tak nampak kami benar-benar mahukan gol kedua. Sukar untuk dinyatakan. Saya perlu kritik pasukan. Mereka sepatutnya memburu gol seterusnya."

Selepas bangkit menewaskan Manchester City 2-1 dalam aksi 'derby' minggu lalu, United kecewa dalam kunjungan ke selatan London selepas gagal mencipta kemenangan ke-10.

Mereka sebaliknya berada di tangga ketiga, sama mata dengan juara bertahan Manchester City dan lapan mata di belakang pendahulu Mikel Arteta. City bakal tiga mata di depan jika menewaskan Tottenham awal pagi esok.

United yang kemarau gelaran sejak 2013 masih boleh mengasak Arsenal jika mereka menewaskan Gunners di utara London.

"Kami ambil pengajaran. Anda tidak boleh mengubah keputusan dan kami akan memandang ke hadapan," kata Ten Hag.

"Menentang Arsenal perlukan perancangan ramai dan pemain wajib pastikan mereka bersedia sepenuhnya."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2023 @ 7:35 AM