REAKSI kecewa Ten Hag dan barisan pemainnya selepas tamat perlawanan. FOTO Reuters
REAKSI kecewa Ten Hag dan barisan pemainnya selepas tamat perlawanan. FOTO Reuters
AFP

London: Erik ten Hag berkata skuad bimbingannya, Manchester United kecewa selepas kekalahan di final Piala FA kepada musuh ketat Manchester City tetapi dia berbangga dengan anak buahnya.

Kapten City, Ilkay Gundogan menjaringkan gol terpantas dalam perlawanan akhir Piala FA, iaitu selepas 12 saat sepak mula di Wembley.

Bruno Fernandes menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti tetapi Gundogan meledak gol lagi pada awal separuh masa kedua untuk City meraih kemenangan mutlak 2-1.

"Sudah tentu kecewa, tetapi saya bangga dengan pasukan saya.

"Kami sudah melakukan yang terbaik, melepaskan dua gol tetapi kami tetap memberi saingan. Mereka menunjukkan semangat yang hebat dan permainan tersusun," kata Ten Hag kepada BBC.

Beliau menambah: "Pasukan ini menunjukkan semangat juang, perwatakan dan personaliti yang tinggi. Ia adalah ujian untuk kami. Kami tidak berjaya tetapi banyak perkara positif menjelang saingan musim depan."

Kapten United, Fernandes berkata kelab itu sudah melakukan perubahan besar menjelang aksi musim depan walaupun mengalami kekalahan di Piala FA.

United menamatkan kemarau trofi selama enam tahun dengan menewaskan Newcastle pada perlawanan akhir Piala Liga, Februari lalu selain menamatkan saingan Liga Perdana di kedudukan ketiga pada musim pertama di bawah bimbingan Ten Hag.

"Setiap orang kecewa dan ia amat sukar. Kami mahu menamatkan musim ini dengan cara berbeza tetapi ia tidak dapat dilakukan.

"Kami sudah melakukan perubahan besar untuk musim depan. Ia bukan musim yang berjaya secara keseluruhan tetapi ia adalah musim yang bagus. Kami perlu kembali musim depan dan cuba memenangi trofi yang lebih utama," kata Fernandes.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Jun 2023 @ 8:34 AM