TEN HAG berang dengan keputusan pengadil perlawanan. -FOTO AFP
TEN HAG berang dengan keputusan pengadil perlawanan. -FOTO AFP
Agensi

London: Erik ten Hag mengkritik pengadil perlawanan selepas Manchester United dinafikan kemenangan ketika mereka turun berdepan Arsenal.

Alejandro Garnacho menyangka dia berjaya menjaringkan gol kemenangan ketika perlawanan berbaki beberapa minit namun golnya itu dibatalkan kerana ofsaid hasil semakan VAR.

Tayangan semula menunjukkan pemain sayap itu berada di hadapan pertahanan Gabriel, tetapi Ten Hag berpendapat ia diambil dari sudut yang salah.

Bos United itu juga merasakan pasukannya sepatutnya diberikan penalti apabila Rasmus Hojlund dijatuhkan di dalam kotak penalti Arsenal.

Beliau turut mendakwa gol lewat Declan Rice sepatutnya dibatalkan kerana kekasaran ke atas Jonny Evans yang menepis rembatan pemain tengah itu ke belakang gawang.

Bercakap selepas perlawanan, Ten Hag berkata: "Ia bukan ofsaid (untuk gol Garnacho), sudut yang salah.

"Penalti untuk Hojlund, dan kemudian kami dibolosi, kekasaran ke atas Jonny Evans sangat jelas," kata Ten Hag.

Evans turut dikecam peminat United selepas penampilan keduanya untuk kelab berakhir dengan kekalahan.

Bek tengah itu menggantikan Victor Lindelof ketika kedudukan terikat 1-1, dan menjadi punca dalam kedua-dua gol Arsenal.

Pertama, rembatan Rice terkena Evans dan menewaskan Andre Onana sebelum gagal menghalang Gabriel Jesus daripada menjaringkan gol ketiga Arsenal.

Sebelum itu jaringan pembukaan Marcus Rashford pada minit ke-27 untuk United diimbangi gol penyamaan Martin Odegaard seminit kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2023 @ 8:24 AM