CONTE berdepan situasi sukar ketika ini. FOTO Reuters
CONTE berdepan situasi sukar ketika ini. FOTO Reuters
AFP

Manchester: Antonio Conte menyeru pemilik dan eksekutif kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk bersuara daripada membiarkan pengurus berdepan media bersendirian apabila masalah melanda kelab masing-masing.

Bos Tottenham itu menerima kecaman daripada penyokong yang kecewa dengan prestasi semasa kelab dan mungkin menyukarkan mereka untuk menamatkan saingan di kedudukan empat teratas.

Tewas 0-2 kepada Arsenal, Ahad lalu, Tottenham kini menduduki tangga kelima, ketinggalan lima mata di belakang pasukan di tangga keempat, Manchester United dalam persaingan untuk layak ke Liga Juara-Juara.

Tottenham akan bertemu juara bertahan, Manchester City, Jumaat ini dan sekiranya tewas lagi, ia pasti lebih menyukarkan Conte.

Ditanya adakah ia membantu sekiranya pengurusan kelab termasuk pengerusi, Daniel Levy, bercakap kepada media, Conte berkata: "Di England, terdapat tabiat buruk apabila hanya jurulatih bercakap dan memberi penjelasan.

"Saya tidak pernah melihat wakil pasukan perubatan tampil untuk menjelaskan mengapa seseorang pemain itu menghadapi kesukaran untuk pulih.

"Saya juga tidak pernah melihat kelab atau pengarah sukan tampil untuk menerangkan strategi dan visi kelab."

Bekas bos Juventus, Chelsea dan Inter Milan itu memberikan penjelasan perbezaan dengan situasi di Serie A.

"Di Itali sebagai contohnya, sebelum setiap perlawanan, ada pihak dari kelab yang perlu menemui media dan menjawab setiap soalan," kata Conte.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2023 @ 9:11 AM