SEBAHAGIAN daripada penyokong Harimau Malaya yang hadir pada perlawanan Piala AFF antara Malaysia bertemu Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO Eizairi Shamsudin
SEBAHAGIAN daripada penyokong Harimau Malaya yang hadir pada perlawanan Piala AFF antara Malaysia bertemu Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO Eizairi Shamsudin
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Sorakan ribuan penyokong skuad Harimau Malaya nyata 'berhantu' buat pasukan lawan dan Singapura jelas terganggu dengan sorakan itu.

Pengendali Singapura, Takayuki Nishigaya berkata, sokongan padu 'pemain ke-12' memberi laluan yang sukar buat anak buahnya hingga tewas 1-4 kepada Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam tadi.

"Keputusan agak mengecewakan, tapi pemain saya dah tunjukkan potensi yang besar.

"Malaysia mendapat sorakan daripada penyokong yang datang ke stadium dan ia menjadikan perlawanan agak sukar," katanya pada sidang media selepas aksi itu.

Dalam aksi itu, Malaysia meraih kemenangan menerusi jaringan Darren Lok pada minit 35, Stuart Wilkin (m-51 dan 54) dan Sergio Aguero (m-88).

Sementara Singapura pula membawa pulang gol saguhati melalui sentuhan Faris Ramli di minit 85.

Hasil kejayaan menguti tiga mata penuh itu, menyaksikan Harimau Malaya melangkah ke separuh akhir selaku naib juara Kumpulan B dengan sembilan mata, manakala Vietnam muncul juara 10 mata.

"Saya ucapkan tahniah kepada pasukan Malaysia. Selamat maju jaya buat mereka," kata Nishigaya.

Di separuh akhir nanti, skuad negara akan menentang Thailand dengan aksi pertama berlangsung di SNBJ Sabtu ini, sebelum timbal balik kedua di Bangkok, Selasa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2023 @ 11:12 PM