REAKSI Pan-gon pada perlawanan malam tadi. FOTO Eizairi Shamsudin
REAKSI Pan-gon pada perlawanan malam tadi. FOTO Eizairi Shamsudin
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Halangan lebih berliku bakal ditempuh skuad Harimau Malaya pada aksi separuh akhir Piala AFF apabila dijadual turun menentang juara bertahan, Thailand dalam aksi pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Sabtu ini.

Perkara itu diakui pengendali negara, Kim Pan-gon yang menjangkakan saingan lebih sengit di peringkat fasa empat terbaik itu yang dijalankan secara timbal balik.

Malah, ketiadaan tonggak pertahanan kiri iaitu Azam Azmi Murad yang digantung dua perlawanan termasuk aksi pertama dengan skuad Gajah Perang itu nanti, ia pastinya menjanjikan ujian berlaku buat anak didiknya.

"Dia (Azam) terima kad merah dan digantung dua perlawanan. Ia (menentang Thailand) akan jadi perlawanan yang sukar di separuh akhir pertama nanti," katanya yang membawa pasukan negara muncul naib juara Kumpulan B di belakang Vietnam.

Walaupun lawan dianggap pasukan pilihan, namun berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan, kelebihan nyata berpihak skuad negara apabila Thailand langsung tidak pernah menang ke atas Malaysia sejak 2014.

Dalam enam aksi sejak 2014 lalu, pasukan kebangsaan menang empat kali termasuk ketika menumbangkan musuh tradisi itu di peringkat separuh akhir Piala Raja Thai di Chiangmai pada September lalu, menerusi sepakan penalti selepas terikat 1-1 dalam masa sebenar.

Malah rekod keseluruhan sejak perlawanan pertama babitkan kedua-dua pasukan pada 1959 hingga kini dalam 112 pertemuan, juga memihak pasukan Malaysia yang menang 41 kali, seri sebanyak 34 kali dan tewas 37 kali.

Kejayaan melepasi peringkat kumpulan itu adalah hasil kemenangan ke atas Singapura dalam aksi terakhir kumpulan yang menyaksikan Malaysia melakar keputusan 4-1, sekali gus menebus kegagalan edisi lalu apabila terkandas di pusingan awal.

Dalam aksi itu, skuad Harimau Malaya meraih jaringan menerusi Darren Lok pada minit 35, Stuart Wilkin (m-51 dan 54) dan Sergio Aguero (m-88), sementara Singapura pula membawa pulang gol saguhati melalui sentuhan Faris Ramli di minit 85.

Mengulas mengenai aksi itu, Pan-gon yang berasal dari Korea Selatan akui terkesima dengan aksi menakjubkan barisan pemainnya selain menganggap ia antara persembahan terbaik pasukan sejak beliau mengambil alih pada Mac lalu.

"Kita boleh lihat gaya permainan dan kesungguhan pemain. Semangat berpasukan dan bekerjasama, itu yang lebih penting…dan ia memberi kegembiraan buat peminat," katanya yang turut membawa Malaysia ke Piala Asia secara merit Jun lalu, sekali gus menamatkan badi selama 42 tahun gagal ke saingan tertinggi itu.

Ujarnya lagi, aura penyokong sangat 'power' dan amat membantu melonjakkan motivasi pemain.

"Terima kasih kepada semua penyokong bola sepak Malaysia yang datang ke stadium sokong kami. Ia sebuah tenaga tambahan yang kuat untuk kami beraksi atas nama Malaysia".

Selepas aksi pertama di SNBJ hujung minggu ini, pasukan negara akan terbang ke Bangkok bagi menghadapi aksi separuh akhir kedua yang dijadual berlangsung Selasa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2023 @ 3:54 PM