OTT menandatangani kontrak selama dua tahun dengan KDA FC. FOTO FB KDA FC
OTT menandatangani kontrak selama dua tahun dengan KDA FC. FOTO FB KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Pemain tengah import, Manuel Ott sah menyertai skuad Kedah Darul Aman FC (KDA FC) bagi musim 2023.

Melalui kenyataan dikeluarkan KDA FC, pemain kebangsaan Filipina yang juga bekas pemain Terengganu FC (TFC) berusia 30 tahun itu kini sah memperkuatkan skuad kendalian Nafuzi Zain.

"Selamat Datang Manuel Ott, beliau menandatangani kontrak selama dua tahun bersama KDA FC dengan kehadirannya mengisi posisi tengah bagi kuota pemain import Asean.

"Beliau antara pemain menjadi perhatian di Liga Malaysia dengan kelincahan mengemudi bahagian serangan.

"Kreatif dalam mengumpan dan mampu menjaringkan dari sudut sukar bakal menjadi aset Sang Kenari musim hadapan bergandingan dengan seorang lagi pemain import Asia, Amirbek Juraboev," katanya.

Pemain berasal dari Munich, Jerman dan memiliki kerakyatan Filipina itu adalah pemain yang diyakini mampu memberi impak lebih bertenaga untuk Sang Kenari di ruang tengah dan membantu dalam gerakan serangan seperti dibuktikan ketika bersama TFC sepanjang musim 2022.

Ott adalah pemain import kedua yang diumumkan KDA FC selepas skuad berkenaan mengikat pemain import dari Tajikistan Amirbek Juraboev, dua hari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2022 @ 9:29 PM