MOHD Daud berharap penyokong terus bersemangat dalam memberi sokongan padu. FOTO Ihsan Facebook Mohd Daud Bakar
MOHD Daud berharap penyokong terus bersemangat dalam memberi sokongan padu. FOTO Ihsan Facebook Mohd Daud Bakar
Izzali Ismail


Alor Setar : Usaha memperkuatkan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) bakal diteruskan apabila skuad berkenaan turut merancang membawa masuk dua lagi pemain tempatan dalam tempoh kedua Jendela Perpindahan pemain yang akan bermula pada 5 Julai depan.

Perkembangan ini turut dikongsikan oleh pemilik Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dalam media sosialnya selepas skuad Sang Kenari mengikat dua pemain import kuota Asia iaitu Ifedayo Olusegun dan Moses Atede seperti yang diumumkan dalam media rasmi skuad Sang Kenari semalam.

"Alhamdulillah, dengan bajet KDA FC sederhana, KDA FC dapat membawa masuk dua pemain import yang ada perjalanan rekod yang 'harum' dalam dimensi.

"Olesegun, berasal dari Nigeria, mempunyai kerakyatan Bahrain yang juga nama yang tidak asing di Malaysia dan banyak berjasa dalam lanskap bola sepak Malaysia," katanya.

Atede yang juga berasal dari Nigeria dan memiliki kerakyatan Bahrain juga antara pemain yang menonjol dalam liga Bahrain dan beraksi sebagai pemain tengah bertahan.

"Kalau ada rezeki, KDA FC akan juga mendapat lagi seorang hingga dua pemain baharu pada tempoh jendela perpindahan yang bakal bermula bulan depan," katanya.

Mohd Daud juga berkata dengan perubahan yang sedang dan akan dilaksanakan dalam pasukan ketika ini, beliau berharap penyokong terus bersemangat dalam memberi sokongan padu dengan hadir memenuhi stadium apabila Sang Kenari kembali beraksi bulan depan.

"Kita doakan yang terbaik. InsyaAllah KDA FC akan membuat apa yang terbaik dalam cakupan kemampuan yang ada untuk menjadikan Sang Kenari ini antara pasukan yang terunggul di Malaysia.

"Mari kita penuhi Stadium Darul Aman sepanjang masa dengan sokongan kita yang tidak berbelah bahagi dan tidak bermusim. Jatuh dan bangun, kita akan sentiasa bersama kerana ini adalah semangat Sang Kenari," katanya lagi.

Dengan kemasukan Olusegun dan Adete dalam senarai terbaru pemain import skuad kendalian Ketua Jurulatih Nafuzi Zain ini, Sang Kenari kini masih memiliki sembilan pemain import selain Bojan Ciger, Manuel Ott, Alan Robertson, Ebenezer Assifuah, Amirbek Juraboev, Manuel Hidalgo dan Jonathan Balotelli.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Jun 2023 @ 11:36 AM