AKSI Hidalgo ketika menentang Perlis United. FOTO KDA FC
AKSI Hidalgo ketika menentang Perlis United. FOTO KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang kini sedang mengasah 'taji'nya bakal menghadapi 'ujian' kedua apabila turun menentang Kelantan FC pada aksi pramusim di Stadium Darul Aman Jumaat ini.

Perlawanan pramusim yang dinantikan penyokong sebelum melangkah ke saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini menjadi medan terbaik Sang Kenari menerusi ketua jurulatihnya Nafuzi Zain yang giat membentuk skuad baharu pada musim ini.

Kemasukan pemain import baharu seperti Manuel Hidalgo, Amirbek Juraboev, Manuel Ott, Lee Tuck, penyerang utama Willian Lira dan pertahanan Bojan Ciger turut menyumbang sambutan hangat penyokong.

Sebelum ini KDA FC juga 'lulus' ujian pertamanya apabila mencatat kemenangan besar 4-0 ketika menentang Perlis United FC minggu lalu di Stadium Universiti Utara Malaysia (UUM) yang dihadiri lebih 3,000 penyokong.

Menerusi maklum balas media KDA FC semalam, pihaknya mengidamkan kehadiran 25,000 penyokong di Stadium Darul Aman bagi menyaksikan perlawanan menentang Kelantan FC yang musim ini dikendalikan ketua jurulatih dari Korea Selatan Choi Moon Sik.

KDA FC juga turut memaklumkan tiket perlawanan pramusim berkenaan mula dijual esok.

"Jualan tiket akan dimulakan esok di House of Sang Kenari, Kompleks Alor Setar, Kanchut, Peladang Mart Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) Kepala Batas, Peladang Mart Pendang dan Kompleks Sukan KHTP, Kulim manakala jualan tiket di Stadium Darul Aman pula akan mula dijual pada hari perlawanan iaitu Jumaat di kaunter B,E dan F.

"Harga tiket adalah RM10 untuk tempat duduk teres dan pavillion dan RM15 untuk Astaka Utama (Grandstand) manakala harga kanak-kanak adalah RM5," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2023 @ 6:23 PM