Jurulatih Maghribi, Walid Regragui. FOTO AFP
Jurulatih Maghribi, Walid Regragui. FOTO AFP
Reuters

Al Rayyan: Maghribi tidak mempunyai strategi khusus untuk menyekat Kylian Mbappe pada aksi Separuh Akhir Piala Dunia, ketika jurulatihnya, Walid Regragui mengakui juara bertahan Perancis mempunyai ramai pemain berbakat menyebabkan mereka tidak tertumpu kepada seorang pemain.

Mbappe adalah penjaring terbanyak kejohanan dengan lima gol setakat ini dan menjadi tumpuan ketika aksi suku akhir berdepan England Sabtu lalu.

Penyerang itu menjadi sebahagian besar pemain yang memberi ancaman namun kurang berkesan begitupun Perancis menang dalam perlawanan itu.

Maghribi tidak mempunyai perancangan yang sama, Regragui memberitahu pada sidang media hari ini menjelang aksi di Stadium Al Bayt awal pagi Khamis ini.

"Saya tidak akan mencuba dan merancang pelan taktikal khusus untuk menghalang Kylian," katanya.

"Perancis mempunyai beberapa pemain bagus yang lain. (Antoine) Griezmann berada di kemuncak prestasi dan beraksi baik di antara garis itu dan Ousmane Dembele juga pelengkap sempurna kepada Mbappe di satu lagi bahagian sayap.

"Jika kami hanya memberi tumpuan kepada Mbappe ia akan menjadi satu kesilapan. Mereka adalah juara dunia, dengan dibarisi pemain kelas dunia dan akan memberi tekanan dengan segala yang mereka ada.

"Kami harus memberi tumpuan dengan apa yang kami boleh lakukan untuk mendatangkan masalah buat Perancis."

Mbappe, di bahagian serangan kiri, akan berdepan rakan rapat yang sama-sama mewakili Paris St Germain, Achraf Hakimi, yang turut beraksi baik di bahagian pertahanan kanan buat Maghribi.

"Achraf mengenali Mbappe lebih baik daripada saya dan berlatih bersamanya setiap hari, jadi dia berada di tempat yang lebih baik daripada saya untuk menghalang Kylian.

"Hakimi adalah salah seorang daripada pemain terbaik di dunia, jadi ia akan membabitkan persaingan sengit antara mereka," kata Regragui.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2022 @ 7:37 PM