MESSI dan Mbappe muncul wira pasukan masing-masing di Piala Dunia.
MESSI dan Mbappe muncul wira pasukan masing-masing di Piala Dunia.
Reuters

Paris: Argentina mendominasi pencalonan anugerah Terbaik Fifa susulan kejayaan menjuarai Piala Dunia dengan penyerang Lionel Messi dan Julian Alvarez, penjaga gol Emiliano Martinez dan jurulatih Lionel Scaloni turut tersenarai dalam kategori masing-masing.

Messi bersama rakan sepasukan di Paris St Germain, Kylian Mbappe dan Manchester City Erling Haaland antara 14 pemain yang tercalon dalam senarai akhir untuk anugerah Pemain Lelaki Terbaik Fifa, menurut badan bola sepak dunia itu, semalam.

Trio terbabit disertai pemenang tahun lalu Robert Lewandowski dari Barcelona, perancang Manchester City Kevin De Bruyne, Liverpool Mohamed Salah dan PSG Neymar serta Achraf Hakimi.

Penyerang Real Madrid, Karim Benzema yang meraih Ballon d'Or 2022 turut tersenarai.

Barca dan Arsenal mendominasi pencalonan anugerah wanita dengan masing-masing mempunyai tiga pemain, Alexia Putellas, Keira Walsh dan Aitana Bonmati untuk juara Sepanyol itu manakala skuad Inggeris itu diwakili Leah Williamson, Vivianne Miedema dan Beth Mead.

Jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti dan Manchester City, Pep Guardiola dicalonkan untuk anugerah lelaki selain Argentina Scaloni, pengurus Perancis Didier Deschamps dan pengendali Maghribi, Walid Regragui.

Penjaga gol Liverpool, Alisson Becker, Real Madrid Thibaut Courtois dan Aston Villa Martinez antara calon merebut Penjaga Gol Terbaik Fifa.

Fifa berkata senarai tiga finalis bagi setiap kategori akan diumumkan awal bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2023 @ 8:41 AM