PAN-gon (kanan) memantau latihan skuad Harimau Malaya di Wisma FAM.  FOTO Owee Ah Chun
PAN-gon (kanan) memantau latihan skuad Harimau Malaya di Wisma FAM. FOTO Owee Ah Chun
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Ketiadaan penyerang kebangsaan, Syafiq Ahmad yang tidak menyertai skuad Harimau Malaya menyaksikan kedudukannya selaku ketua pasukan negara digantikan dengan pemain lain.

Dua pemain iaitu tonggak tengah, Brendan Gan dan pemain sayap lincah, Faisal Halim dilantik menggantikan tempat Syafiq sekaligus ketika ini menyaksikan pasukan negara mempunyai empat ketua pasukan.

Pengendali negara, Kim Pan-gon mengumumkan perkara itu hari ini menerusi kenyataan media dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

"Ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon melantik Brendan Gan dan Faisal Halim untuk bersama Dion Cools dan Safawi Rasid sebagai kapten skuad Harimau Malaya bagi kem latihan pusat kali ini sebagai persiapan menghadapi Piala AFF 2022.

"Dion dan Safawi sebelum ini bersama Syafiq Ahmad adalah tiga kapten Harimau Malaya ketika kempen Piala Raja Thai di Chiang Mai, Thailand, September lalu.

"Tetapi dengan ketiadaan Syafiq bagi kem latihan pusat kali ini, Brendan dan Faisal dinamakan sebagai pengganti untuk membentuk gandingan empat kapten Harimau Malaya," kata kenyataan itu.

Barisan pemain skuad Harimau Malaya sudah memulakan kem latihan pusat bermula semalam sebagai persediaan ke Piala AFF.

Dua aksi persahabatan turut dirangka di mana Malaysia akan menentang Kemboja dan Maldives pada 9 dan 14 Disember ini, dengan kedua-duanya dilangsungkan di Stadium Nasional Bukit Jalil dan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Di saingan serantau itu nanti, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama Myanmar, Laos, Vietnam dan Singapura, dengan aksi pertama dijadual bertandang ke Yangon bertemu Myanmar pada 21 Disember ini.

Ia disusuli aksi menentang Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil (24 Disember) diikuti Vietnam (di Hanoi pada 27 Disember) dan aksi terakhir kumpulan berdepan Singapura ( Stadiuam Nasional Bukit Jalil 3 Januari).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2022 @ 6:42 PM