PEMAIN Maghiribi, Walid Cheddira bergembira di hadapan pemain Sepanyol yang kecewa selepas tersingkir dari Piala Dunia.
PEMAIN Maghiribi, Walid Cheddira bergembira di hadapan pemain Sepanyol yang kecewa selepas tersingkir dari Piala Dunia.
Agensi

Doha: Jurulatih Sepanyol, Luis Enrique mengakui dia bertanggung jawab selepas pasukannya tersingkir mengejut di tangan Maghribi dalam aksi peringkat 16 terakhir di Stadium Education City, semalam.

Walaupun Sepanyol mendominasi penguasaan bola sepanjang 120 minit, keputusan berakhir 0-0 sekali gus membawa penentuan penalti yang menyaksikan dua sepakan Sepanyol diselamatkan penjaga gol Yassine Bounou dan satu lagi terkena tiang sebelum Achraf Hakimi meledak penalti kemenangan untuk skuad Afrika itu.

"Tanggung jawab itu di bahu saya," kata Enrique. "Saya memilih tiga pengambil penalti pertama yang saya fikir terbaik di atas padang. Tetapi kami tak perlu penalti keempat. Bounou penjaga gol hebat dalam aspek ini. Dia mempunyai peratusan tinggi melayangkan badan ke arah yang betul." "

Ia kekalahan kedua menerusi penalti di Piala Dunia buat Sepanyol yang turut tersingkir dengan cara sama kepada tuan rumah Rusia pada 2018 dan bekas pengurus Barcelona itu kecewa dengan kegagalan penyerangnya menyudahkan deretan peluang diperolehi.

"Bola sepak sukan menarik tetapi pasukan boleh menang tanpa kurang menyerang," kata Luis Enrique. "Maghribi menyerang sekali atau dua kali tapi bahaya. Namun kami menguasai perlawanan sepenuhnya dan berusaha mencipta peluang."

Sepanyol melengkapkan 988 daripada 1,063 hantaran berbanding Maghribi dan menguasai 63% berbanding 21% penguasaan bola.

"Kami perlu mencipta lebih banyak peluang," kata Enrique lagi. "Kami dapat 11 percubaan tetapi kurang ke arah gol. Pada gerakan terakhir perlawanan rembatan Pablo Sarabia terkena tiang. Penentuan penalti sukar bagi kami tapi saya tetap bangga dengan pemain saya."

Sepanyol yang menjuarai Piala Dunia 2010 kini gagal mara ke suku akhir dalam empat daripada lima kejohanan sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2022 @ 9:39 AM