Penyerang Portugal, Cristiano Ronaldo. FOTO AFP
Penyerang Portugal, Cristiano Ronaldo. FOTO AFP
Reuters

Doha: Kapten Portugal, Cristiano Ronaldo mengetepikan isu perpisahan kontroversi bersama Manchester United untuk mencipta satu lagi rekod apabila menjadi pemain pertama menjaringkan gol dalam lima edisi Piala Dunia.

Ronaldo menyempurnakan penalti yang membawa kemenangan 3-2 pasukannya ke atas Ghana.

Babak pertama dalam pertembungan membabitkan Kumpulan H itu menyaksikan beberapa peluang terbaik diperoleh Ronaldo untuk memecah kebuntuan jaringan namun detik yang dinantikan hanya hadir selepas waktu rehat ketika Portugal memulakan kempen mereka di Piala Dunia.

Ronaldo kini pemain bebas selepas penyertaan kali keduanya di Old Trafford berakhir pada Selasa.

Dia berjaya menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-65 selepas bersaingan dengan Mohammed Salisu dalam usaha menghasilkan jaringan sehingga membuatkan pengadil menghadiahkan penalti.

Tidak banyak yang dilakukan Ghana pada babak pertama selain bertahan di kubu mereka pada aksi yang berlangsung di Stadium 974 itu.

Andre Ayew bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan buat Ghana pada minit ke-73.

Begitupun, Joao Felix melebarkan penguasaan Portugal lima minit kemudian dan Bruno Fernandes mempamerkan kualiti permainannya apabila mencipta gerakan buat Rafael Leao untuk Portugal selesa mendahului 3-1.

Tandukan Osman Bukari pada minit ke-89 menghidupkan harapan buat Ghana memungut satu mata namun kedudukan berpihak kepada Portugal itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Ia adalah kemenangan pertama mereka pada perlawanan pembukaan di Piala Dunia dalam empat penampilan sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 November 2022 @ 2:58 AM