RONALDO (kanan) tersenyum ke arah lelaki yang menceroboh padang ketika perlawanan kelayakan Euro 2024 menentang Bosnia-Herzegovina di Lisbon, Sabtu lalu. FOTO AFP
RONALDO (kanan) tersenyum ke arah lelaki yang menceroboh padang ketika perlawanan kelayakan Euro 2024 menentang Bosnia-Herzegovina di Lisbon, Sabtu lalu. FOTO AFP
AFP

Paris: Cristiano Ronaldo yang memegang rekod dunia bagi penampilan antarabangsa, akan terus bermegah dengan penampilan ke-200 apabila Portugal berkunjung ke Iceland pada aksi kelayakan Euro 2024, awal pagi Rabu.

Ronaldo membuat penampilan antarabangsa pertama ketika berusia 18 tahun apabila masuk menggantikan seorang lagi ikon Portugal, Luis Figo pada Ogos 2003.

Penampilan sulungnya di kejohanan besar adalah apabila Portugal menjadi tuan rumah Euro 2004 dan menjaringkan gol pertama untuk negaranya.

Ronaldo yang masuk sebagai pemain gantian menjaringkan gol sebelum merek tewas mengejut 1-2 di tangan Greece, yang akhirnya muncul juara.

Pada usia 21 tahun dan 132 hari, Ronaldo muncul penjaring gol termuda negaranya di Piala Dunia apabila menyempurnakan penalti ketika menentang Iran pada edisi 2006 di Jerman.

Dia menjadi tumpuan apabila membantah keras ke arah pengadil selepas penyerang England, Wayne Rooney memijak Ricardo Carvalho di suku akhir dan dia kemudian memujuk rakan sekelabnya di Manchester United itu yang kemudiannya dibuang padang.

Ronaldo menyempurnakan sepakan penalti penentuan ketika Portugal kecundang di separuh akhir di tangan Perancis.

Ronaldo dan Portugal akhirnya memenangi trofi antarabangsa selepas muncul juara Euro 2016 di Perancis.

Ronaldo menjaringkan tiga gol untuk melayakkan mereka ke final, termasuk sepakan penalti penentuan penting ketika mengatasi Poland di suku akhir.

Tetapi, ketika final menentang Perancis, dia diusung keluar pada minit ke-25 dan Eder menjaringkan gol tunggal perlawanan pada masa tambahan yang membolehkan Ronaldo menjulang trofi sebagai kapten pasukan.

"Ia bukan aksi final yang saya impikan, tetapi saya sangat gembira.

"Ia adalah trofi untuk semua rakyat Portugal, pendatang dan semua orang yang percayakan kami, jadi saya sangat gembira dan bangga," kata Ronaldo selepas perarakan kemenangan itu di Lisbon.

Termasuk dua kali menjaringkan empat gol dalam satu perlawanan, Ronaldo melakukan 10 hatrik buat Portugal.

Ia membabitkan aksi menentang negara kerdil seperti Andorra, Armenia, Faroe Islands, Lithuania (dua kali), Luxembourg dan Ireland Utara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2023 @ 9:39 AM