VALENCIA (kanan) menjaringkan gol kedua pasukannya ketika bertemu Qatar. FOTO AP
VALENCIA (kanan) menjaringkan gol kedua pasukannya ketika bertemu Qatar. FOTO AP
AFP

Al Khor: Jurulatih Qatar, Felix Sanchez berkata pasukannya masih 'merasai sokongan' walaupun beribu-ribu penyokong meninggalkan stadium lebih awal ketika tuan rumah Piala Dunia itu tewas 0-2 kepada Ecuador pada perlawanan pembukaan, hari ini.

Skuad kendalian Sanchez dihukum di atas kegugupan mereka pada babak pertama di mana kapten Ecuador, Enner Valencia meledak dua gol, termasuk satu sepakan penalti.

Kekalahan itu menyaksikan Qatar menjadi tuan rumah pertama yang tewas pada perlawanan pembukaan dalam sejarah 92 tahun kejohanan berkenaan.

"Kami merasai sokongannya. Saya harap penyokong akan lebih berbangga pada perlawanan seterusnya. Mereka sedar kami mampu lakukan lebih baik.

"Kami sedar perkara seperti ini akan berlaku, kami akan belajar daripada kesilapan.

"Perasaan gugup menghukum kami, kami bermula dengan teruk. Kami tidak dapat melakukan hantaran dengan betul.

"Pertahanan juga longgar. Pasukan tidak seimbang dan ia menyukarkan kami. Apabila anda bermain dengan pasukan pada tahap ini, anda akan menerima padah," kata Sanchez.

Qatar akan bertemu Senegal untuk perlawanan seterusnya dalam Kumpulan A Jumaat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2022 @ 6:40 AM