HASHIM Mustapha. FOTO arkib NSTP
HASHIM Mustapha. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kota Bharu: Bekas pemain bola sepak kebangsaan dan Kelantan era 90-an Mohd Hashim Mustapha selamat menjalani pembedahan memotong kaki kirinya Rabu lalu, akibat penyakit kencing manis yang dialaminya sejak beberapa tahun lalu.

Isterinya Zaheran Hussien, 52, berkata, pembedahan kaki Mohd Hashim, 56, dilakukan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

"Mohd Hashim dimasukan ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan kesan luka pada pergelangan kaki semakin serius, selepas terjatuh dari motosikal Mac lepas.

"Saluran darah pada kaki tersumbat dan bagi mengelakkan kemudaratan, maka pembedahan pemotongan kaki dari bawah lutut terpaksa dilakukan," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Mohd Hashim pernah dinobatkan penjaring terbanyak dan memenangi anugerah kasut emas pada era 90-an dalam saingan Liga Malaysia selain turut mewakili negara pada era itu.

Penyerang kelahiran Kota Bharu itu, pernah dilantik sebagai penolong jurulatih pasukan Kelantan pada 2010 sehingga 2012, dan beliau kali terakhir menjadi ketua jurulatih pasukan Tok Janggut Warriors FC yang beraksi dalam Liga M3.

Zaheran berkata suaminya ketika ini masih berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) HRPZ II.

"Alhamdulillah suami stabil perlu pemantauan doktor. Saya berharap para penyokong dan peminat bola sepak Kelantan mendoakan agar suami saya kembali sihat.

"Selain menghadapi penyakit kencing manis, dia (suami) turut menghadapi penyakit jantung dan darah tinggi sejak beberapa tahun lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2022 @ 2:13 PM