AHLI  keluarga allahyarham  Hashim Mustapha menjirus air ke pusaranya di Tanah Perkuburan Islam Al-Husna (1) Kampung Guchil Baung Bayam. FOTO Siti Rohana Idris
AHLI keluarga allahyarham Hashim Mustapha menjirus air ke pusaranya di Tanah Perkuburan Islam Al-Husna (1) Kampung Guchil Baung Bayam. FOTO Siti Rohana Idris
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: "Dalam keadaan terlantar sekalipun, suami sering suarakan hasrat untuk menabur jasa dalam bidang bola sepak tapi hasratnya tidak kesampaian," kata Zaheran Hussien, isteri kepada lagenda bola sepak tanah air, allahyarham Mohd Hashim Mustapha.

Zaheran, 52, berkata, suaminya membuat perancangan kembali menjadi jurulatih sekiranya kaki kiri yang dipotong akibat komplikasi kencing manis sembuh sepenuhnya dan permohonan mendapatkan kaki palsu dibuat.

"Memang kerap semasa hayatnya, suami memberitahu demikian kerana jiwanya sangat kuat kepada bola sepak. Walaupun dalam keadaannya begitu (kaki dipotong), suami berkata dia masih mampu menguruskan pasukan sekiranya diberi peluang menjadi jurulatih," katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Masjid Baung Bayam di sini, hari ini.

Allahyarham Hashim Mustapha, menghembuskan nafas dalam usia 56 tahun di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM), Kubang Kerian jam 10.25 semalam dan meninggalkan seorang balu serta tiga cahaya mata.

Bekas pemain bola sepak kebangsaan dan Kelantan era 90-an itu menghidap penyakit kencing manis menyebabkan kaki kirinya dipotong pada Oktober lalu.

Zaheran berkata, mereka sekeluarga tidak menyangka Mohd Hashim akan pergi meninggalkan mereka dengan begitu cepat kerana suaminya hanya mengalami demam sahaja pada mulanya.

"Suami juga tidak menunjukkan sebarang perubahan dan kami menyangkakan demamnya itu akan kembali pulih selepas mendapatkan rawatan di hospital.

"Selepas dimasukkan ke hospital pada tengah hari Jumaat lalu, dia masih lagi sedarkan diri namun keadaannya semakin merosot sebelum terpaksa ditidurkan pada pagi keesokannya.

"Memang tidak sangka dia akan pergi secepat itu tapi kami tidak boleh menolak takdir sebaliknya hanya reda dan berdoa semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang beriman," katanya.

Jenazah Hashim dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Al-Husna (1) Kampung Guchil Baung Bayam, di sini jam 10.30 pagi tadi dengan diiringi lebih 500 sanak saudara dan kenalan yang hadir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2022 @ 6:14 PM