MENTERI Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu melawat Hashim, semalam. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
MENTERI Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu melawat Hashim, semalam. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Peminat pasukan Terengganu dan Kelantan bakal menyaksikan bekas bintang mereka beraksi pada perlawanan amal di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu, malam esok.

Perlawanan amal itu bagi mengutip dana untuk membantu bekas pemain kebangsaan dan Kelantan, Hashim Mustapha, 56, yang baharu menjalani pembedahan pemotongan kaki kiri, minggu lalu akibat penyakit kencing manis.

Presiden Persatuan Bekas Pemain Bolasepak Negeri Terengganu (PBPBT), Mat Sedek Wahab berkata, perlawanan amal itu adalah kaedah rakan sepasukan untuk membantu Hashim yang baharu menjalani pembedahan itu.

Beliau berkata, perlawanan amal antara bekas pemain Terengganu dan Kelantan yang turut disertai pilihan exco Kelantan itu bertujuan mengutip dana bagi meringankan beban ditanggung Hashim.

"Jadi kami bersetuju mengadakan perlawanan persahabatan itu, sekali gus mengubat rindu peminat untuk menyaksikan bekas bintang mereka beraksi semula di padang selepas sekian lama 'gantung but'.

"Saya harap peminat setia dapat membanjiri stadium sebagai sokongan sambil menghulurkan sumbangan yang bakal diberikan kepada Hashim yang diuji apabila kaki dipotong akibat penyakit kencing manis.

"Marilah kita sama-sama berdoa agar saudara Hashim tabah menjalani kehidupan harian selain sihat sentiasa, begitu rakan pemain lain," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, antara pemain Terengganu yang akan beraksi termasuk Badrul Hisham Abdullah, Othman Mat Khiar, Zuber Ibrahim, Roshadi Wahab, Mat Zahir Wahab, Anuar Jusoh, Zamri Md Nor, Zulfakri Ashaari dan Faziallah Mamat.

Katanya, pasukan Kelantan bakal diperkuatkan Azman Ismail, Badhri Radzi, Zahasmi Ismail, Wan Ezila Wan Daud, Rosman Hussin, Baharuddin Ghazali, Zulkifli Hussin dan Aziz Mustafa.

Minggu lalu, bekas pemain kebangsaan dan Kelantan era 1990-an itu selamat menjalani pembedahan pemotongan kaki kirinya akibat penyakit kencing manis di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Bekas pemenang Kasut Emas era 90-an itu dimasukkan ke hospital bagi rawatan susulan selepas kesan luka pada pergelangan kaki semakin serius akibat terjatuh dari motosikal, Mac lalu.

Penyerang kelahiran Kota Bharu itu, pernah dilantik sebagai penolong jurulatih pasukan Kelantan pada 2010 sehingga 2012 dan beliau kali terakhir menjadi ketua jurulatih pasukan Tok Janggut Warriors FC yang beraksi dalam Liga M3.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Oktober 2022 @ 3:59 PM