HASHIM (kiri) ketika menerima lawatan daripada Yayasan Atlet Kebangsaan (Yakeb) baru-baru ini. FOTO Ihsan KPDNHEP
HASHIM (kiri) ketika menerima lawatan daripada Yayasan Atlet Kebangsaan (Yakeb) baru-baru ini. FOTO Ihsan KPDNHEP
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Keadaan bekas pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Hashim Mustapha yang kritikal sebelum ini dan terpaksa ditidurkan sudah beransur stabil.

Mohd Hashim bagaimanapun masih lagi ditidurkan sejak dimasukkan ke hospital pada tengah hari Jumaat lalu dan kini sedang menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) Kubang Kerian.

Isterinya, Zaheran Hussien, 52, berkata, sejak malam tadi suaminya menjalani rawatan mencuci darah kerana dia dimaklumkan doktor bahawa jangkitan kuman sudah merebak.

"Bagaimanapun doktor juga memberitahu ada sedikit perubahan terhadap suami dan dia juga kelihatan semakin stabil walau masih ditidurkan.

"Ubat-ubatan yang digunakan juga sudah dikurangkan dosnya dan saya anggap suami sudah melepasi tempoh kritikal," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Zaheran berkata, walau sudah ada sedikit perubahan, mereka sekeluarga masih belum mampu berasa lega selagi bekas penolong jurulatih pasukan Kelantan itu belum membuka mata.

Katanya lagi, sejak empat hari berkampung di hospital, dia sentiasa menemani suaminya walau hanya dibenarkan menjenguk sesekali sahaja.

"Saya sentiasa memberi kata-kata sokongan buatnya walau tidak tahu sama ada dia mampu mendengar atau tidak kerana sekurang-kurangnya saya ingin suami tahu, kami ingin dia kuat.

"Saya ingin berterima kasih kepada semua yang mendoakan suami termasuk mengadakan solat hajat untuk kesembuhannya," katanya.

Mohd Hashim yang juga bekas penjaring terbanyak dan memenangi anugerah kasut emas pada era 90-an dalam saingan Liga Malaysia itu menghidap penyakit kencing manis dan akibat komplikasi itu, kaki kirinya sudah dipotong pada Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2022 @ 4:56 PM