CONTE anggap mengaitkannya dengan Juve adalah tindakan kurang hormat. FOTO Reuters
CONTE anggap mengaitkannya dengan Juve adalah tindakan kurang hormat. FOTO Reuters
AFP

London: Pengurus Tottenham Antonio Conte pada Khamis mengecam dakwaan kurang rasa hormat bahawa beliau akan meninggalkan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu untuk menyertai semula Juventus.

Conte dikaitkan dengan perpindahan ke Juventus selepas permulaan buruk kelab Serie A itu pada musim ini.

Pengendali kelahiran Itali itu, yang kontraknya di Tottenham tamat pada hujung musim ini, mempunyai hubungan baik dengan Juve selepas memenangi gelaran di Turin sebagai pemain dan pengurus.

Selepas membawa Tottenham layak ke Liga Juara-Juara musim lalu sebelum mengharungi aksi permulaan tanpa kalah mereka pada musim baharu EPL, saham Conte dilihat semakin melonjak.

Namun di sebalik laporan Massimiliano Allegri mungkin dipecat selepas Juventus hanya memenangi dua daripada tujuh perlawanan Serie A, Conte bertegas beliau kekal komited dengan Spurs.

"Saya fikir ini tidak menghormati jurulatih Juventus dan tidak menghormati saya bekerja untuk Tottenham.

"Kami baru sahaja memulakan aksi musim ini. Banyak kali saya bercakap mengenai topik ini dan saya sentiasa berkata saya gembira dan menikmati masa bersama Tottenham. Kemudian kami mempunyai sepanjang musim untuk mencari penyelesaian terbaik untuk kelab dan untuk saya.

"Pastinya, saya menikmati masa bekerja untuk Tottenham. Saya mempunyai hubungan yang baik dengan pemilik pasukan. Saya tidak nampak masalah untuk masa akan datang.

"Saya tidak mahu pada masa akan datang mendengar seseorang bercakap mengenai perkara ini kerana ia tidak menghormati jurulatih lain dan saya," kata Conte

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2022 @ 1:39 PM