PEMAIN Tottenham kecewa selepas mereka tumpas kepada Burnley. FOTO Reuters
PEMAIN Tottenham kecewa selepas mereka tumpas kepada Burnley. FOTO Reuters
AFP

Burnley: Pengurus Tottenham, Antonio Conte akan menilai masa depannya di kelab bermasalah itu selepas mengakui beliau tidak berhak menerima gaji di atas kekalahan 0-1 kepada Burnley.

Harapan pasukan bimbingan Conte untuk menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di kelompok empat teratas terjejas dengan gol kemenangan Ben Mee pada separuh masa kedua di Turf Moor.

Hanya beberapa hari selepas kemenangan 3-2 ke atas penyandang juara Manchester City, Tottenham kembali kepada permainan hambar yang merosakkan saingan mereka untuk musim ini.

Ia adalah kekalahan keempat daripada lima perlawanan liga buat Tottenham yang menghuni tangga kelapan dan sekarang ini tujuh mata di belakang kelompok empat teratas.

Beliau yang menggantikan Nuno Espirito Santo November lalu, nampaknya membayangkan beliau boleh meninggalkan Tottenham jika tiada peningkatan dalam keputusan perlawanan akan datang.

"Apabila anda kalah empat daripada lima perlawanan ia bermakna kelab perlu membuat penilaian, juga untuk bincang bersama-sama dan memahami yang mana penyelesaian terbaik.

"Dalam situasi ini pemain sentiasa sama dalam kelab ini, kelab bertukar jurulatih, tetapi pemain adalah sama, tetapi keputusan tidak berubah.

"Inilah realitinya. Tiada siapa yang layak menerima situasi seperti ini, kelab, saya, pemain, peminat, tetapi ini adalah realiti.

"Saya datang ke sini untuk cuba memperbaiki keadaan di Tottenham tetapi mungkin pada masa ini saya tidak begitu baik.

"Saya terlalu jujur untuk menutup mata saya. Ini bermakna akan ada penilaian mengenai kelab, mengenai saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Februari 2022 @ 8:32 AM