CONTE berdepan detik memalukan dalam Liga Konferensi Europa selepas tumpas kepada kelab kerdil dari Slovenia, NS Mura minggu lalu. FOTO EPA
CONTE berdepan detik memalukan dalam Liga Konferensi Europa selepas tumpas kepada kelab kerdil dari Slovenia, NS Mura minggu lalu. FOTO EPA
AFP

London: Antonio Conte mengakui ia satu cabaran besar sepanjang kariernya sebagai pengurus untuk kembali membawa Tottenham ke landasan sebenar.

Conte sedar bahawa beberapa perkara perlu diselesaikan untuk kembali menjulang Tottenham selepas berdepan tugas sukar selama empat minggu mengambil alih pasukan itu.

Pengendali kelahiran Itali itu berdepan detik memalukan dalam Liga Konferensi Europa selepas tumpas kepada kelab kerdil dari Slovenia, NS Mura minggu lalu.

Conte yang pernah membawa Chelsea, Juventus dan Inter Milan meraih trofi, mengakui sebelum aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Brentford esok pagi bahawa beliau perlu berkerja lebih masa untuk mengembalikan kegemilangan kelab London utara itu.

"Ya cabaran besar, namun seperti saya katakan di Mura, saya tidak pernah gentar mengenai perkara ini.

"Saya sentiasa bersemangat. Apabila saya tiba di sini, saya menikmati situasi yang berlaku. Saya gembira dapat berkerja dengan pemain, gembira dapat berjaya dengan pengurusan dan sentiasa menikmati mampu mewujudkan tapak di sini.

"Sekarang paling penting ia membina struktur yang kuat dan mewujudkan sesuatu yang penting.

"Kami memerlukan sedikit masa tapi saya pasti dapat mempertingkatkan banyak perkara dan memberikan kepuasan kepada penyokong.

"Ini adalah cabaran besar buat pasukan. Ia adalah cabaran besar juga kepada pemain dan semua orang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 12:40 PM