AUBAMEYANG gembira pulang semula ke EPL. FOTO Agensi
AUBAMEYANG gembira pulang semula ke EPL. FOTO Agensi
AFP

London: Chelsea berharap penyatuan semula Pierre-Emerick Aubameyang dengan Thomas Tuchel bakal mewujudkan permainan terbaik daripada pemain berusia 33 tahun itu selepas dia menunjukkan peningkatan ketika mereka bersama di Borussia Dortmund.

"Saya sangat gembira. Ia satu penghormatan untuk menjadi sebahagian daripada pasukan ini dan saya tidak sabar untuk memulakan aksi.

"Saya masih mempunyai tugas yang belum selesai di Liga Perdana Inggeris (EPL), jadi ia sangat bagus dapat kembali dan begitu mengujakan," kata Aubameyang di laman web rasmi Chelsea.

Pengerusi Chelsea, Todd Boehly mengakui Aubameyang adalah seorang penyerang elit yang sudah membuktikan kemampuannya di EPL dan kehadiran pemain itu mampu memperkuatkan pasukannya, seterusnya memberikan pilihan baru di bahagian serangan.

"Kami sangat teruja untuk mempunyai Pierre-Emerick bersama kami dalam era baharu di Chelsea dan kami sangat tidak sabar untuk bekerja dengannya," katanya.

Chelsea menandatangani Aubameyang pada harga £10.3 juta (RM53.3 juta).

Perbelanjaan Chelsea sepanjang pertengahan tahun ini melonjak ke £240 juta (RM1.24 bilion) dengan pembelian bekas pemain Arsenal itu.

Pengumuman yang dibuat selepas jendela perpindahan ditutup secara rasmi, membawa Aubameyang kembali ke EPL hanya beberapa bulan selepas dia meninggalkan Emirates kerana tidak sehaluan dengan bos Gunners, Mikel Arteta.

Hubungan Aubameyang dan Arteta tegang selepas pemain Gabon itu dikatakan mempunyai masalah disiplin, termasuk kegagalannya untuk melaporkan diri selepas melawat ibunya yang sakit di Perancis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2022 @ 9:15 AM