JOSUE wira KL City.
JOSUE wira KL City.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kecemerlangan Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam empat aksi Liga Super akhirnya terhenti apabila tewas 0-1 di tangan Kuala Lumpur City FC (KL City) di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi.

Kekalahan itu menyaksikan rekod empat kemenangan berturut-turut sebelum ini lebur sekaligus gagal menambah tiga mata untuk memberi tekanan kepada dua pasukan teratas liga iaitu Johor Darul Ta'zim dan Sabah FC.

Sebaliknya, skuad The City Boys dilihat kembali menemui sentuhan kemenangan dan kejayaan mara ke pentas final Piala AFC Zon Asean pada 24 Ogos ini nyata membakar semangat anak buah Bojan Hodak itu.

Dalam aksi terbabit, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun tuan rumah lebih bernasib baik untuk menemui jaring.

Gol pertama KL City diraih pada masa kecederaan babak pertama menerusi ketua pasukan, Paulo Josue yang sudah meledak lima gol setakat ini dalam saingan liga.

Aksi berbalas serangan diteruskan di babak kedua dan skuad Hobin Jang Hobin berpeluang menyamakan kedudukan namun sepakan percuma yang diambil di depan kotak penalti oleh Matheus Alves tersasar di minit 68.

Alves sekali lagi dihidangkan peluang namun rembatan padu dalam kotak penalti di minit 73 tidak menepati sasaran.

Menuju 10 minit terakhir menyaksikan skuad kendalian K Devan terus menekan tuan rumah tetapi benteng KL City cukup ampuh untuk mengekang segala serangan bagi mengakhiri perlawanan dengan kemenangan tipis 1-0.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 10:31 PM