LELAKI terkaya di Britain, Jim Ratcliffe minat beli Manchester United jika kelab gergasi England itu mahu dijual. FOTO REUTERS
LELAKI terkaya di Britain, Jim Ratcliffe minat beli Manchester United jika kelab gergasi England itu mahu dijual. FOTO REUTERS
AFP

London: Ahli perniagaan British, Jim Ratcliffe 'pasti menjadi pembeli berpotensi' Manchester United jika gergasi bola sepak England itu mahu dijual, kata jurucakap jutawan petrokimia itu, hari ini.

Ineos memberi reaksi itu terhadap laporan menyatakan pemilik United ketika ini, keluarga Glazer yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) sedang memikirkan untuk menjual saham minoriti mereka ketika kelab itu berada di tangga tercorot Liga Perdana Inggeris (EPL) pada permulaan musim baharu yang buruk di bawah pengurus baharu, Erik ten Hag.

Jurucakap Ineos memberitahu The Times bahawa Ratcliffe, yang juga lelaki terkaya Britain, akan bersedia untuk membeli saham ditawarkan bagi memberi laluan mendapatkan kawalan sepenuhnya di Old Trafford.

"Jika perkara seperti ini ada kemungkinan, kami pasti berminat untuk bercakap mengenai pemilikan jangka panjang," tambah jurucakap itu.

Keluarga Glazer membeli United pada 2005, namun menyebabkan hutang yang banyak, dipersalahkan kerana mengambil lebih banyak wang berbanding pelaburan mereka dalam aspek dana perpindahan atau membangunkan semula gelanggang di Old Trafford.

Mereka membangkitkan kemarahan penyokong United apabila mencadangkan projek Liga Super Eropah, pada April tahun lalu yang memungkinkan kelab itu menyertai pertandingan berasingan, sebelum projek itu gagal direalitikan.

Kali terakhir United menang EPL pada 2013 dan tidak menjulang trofi utama sejak 2017, dengan kekalahan memalukan 0-4 di Brentford, hujung minggu lalu, menyebabkan mereka menduduki tangga tercorot liga utama buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun.

"Ini bukan mengenai wang yang dibelanjakan atau tidak dibelanjakan," kata jurucakap Ineos kepada The Times.

"Jim melihat kepada sesuatu yang boleh dilakukan sekarang, sedar betapa pentingnya kelab itu kepada bandar dan dirasakan ini adalah saat paling sesuai untuk sesuatu yang baharu."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 8:07 AM