JIM Ratcliffe (kiri) ketika menyaksikan perlawanan antara Man United dengan Tottenham Hotspur di Old Trafford. FOTO AFP
JIM Ratcliffe (kiri) ketika menyaksikan perlawanan antara Man United dengan Tottenham Hotspur di Old Trafford. FOTO AFP
AFP

London: Jim Ratcliffe memberitahu penyokong Manchester United bahawa beliau akan mengutamakan trofi berbanding keuntungan kewangan sepanjang pemilikannya di Old Trafford.

Jutawan Britain, Ratcliffe bersetuju untuk membeli 25 peratus kepentingan dalam United daripada keluarga Glazer pada malam Krismas.

Pengerusi INEOS itu akan mengawal operasi bola sepak di kelab Liga Perdana itu di bawah syarat perjanjian yang dijangka diluluskan secara rasmi pada bulan depan.

Ahli perniagaan berusia 71 tahun itu menyaksikan perlawanan United buat kali pertama sejak perjanjian itu apabila dia duduk di sebelah bekas pengurus legenda kelab itu, Alex Ferguson, yang menyaksikan United seri 2-2 menentang Tottenham, Ahad lalu.

Ratcliffe, yang meminati United sejak zaman kanak-kanak, kembali ke Old Trafford minggu ini untuk bertemu dengan wakil penyokong dan pemimpin tempatan.

Ratcliffe bertemu ahli Lembaga Penasihat Peminat United dan pemimpin Manchester United Supporters' Trust (MUST), sebelum mengadakan pertemuan video dengan Forum Penyokong yang lebih besar.

Di tengah-tengah kritikan selama berdekad yang ditujukan kepada keluarga Glazers, penyokong United berasa lega apabila mendengar Ratcliffe berazam untuk mengutamakan kejayaan di atas padang sebelum memikirkan soal keuntungan.

"Mesej utamanya ialah segala-galanya di United perlu memberi tumpuan untuk mencipta pasukan yang menang di atas padang, sesuatu yang kami pasti semua peminat akan bersetuju," kata MUST.

"Beliau juga menyatakan pandangan bahawa dia melihat kelab sebagai 'aset komuniti' dan menegaskan tujuannya memiliki United bukan untuk mencari wang," katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2024 @ 8:33 PM