JIM Ratcliffe mahu membeli Man United. FOTO AFP
JIM Ratcliffe mahu membeli Man United. FOTO AFP
AFP

London: Syarikat Ineos milik jutawan Britain, Jim Ratcliffe secara rasmi menyertai persaingan untuk membeli Manchester United.

Pemilik United, keluarga Glazer pada November lalu berkata, mereka bersedia mendengar tawaran untuk membeli kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Ratcliffe, yang menawarkan £4.25 bilion (RM22.6 bilion) namun tidak berjaya untuk membeli Chelsea tahun lalu, sudah lama dikaitkan dengan pasukan Old Trafford itu.

"Kami secara rasmi sudah meletakkan situasi kami dalam proses itu," kata jurucakap Ineos kepada BBC.

Selepas gagal untuk membeli Chelsea apabila Roman Abramovich menjual Blues kepada taikun Amerika, Todd Boehly dan konsortiumnya, Ratcliffe kembali memburu kelab gergasi Liga Perdana.

United masih belum memberi maklum balas berhubung minat tokoh berusia 70 tahun itu untuk mengambil alih Man United daripada Glazers yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Dilahirkan di Failsworth, Greater Manchester, Ratcliffe adalah salah seorang lelaki terkaya di Britain dan mungkin lebih sesuai memiliki United berbanding Glazers yang sering menerima kecaman sejak membeli kelab itu pada 2005.

Selepas menamatkan saingan di tempat keenam Liga Perdana Inggeris musim lalu, United kembali bangkit di bawah bimbingan Erik ten Hag dan ketika ini menduduki tempat keempat liga.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2023 @ 9:39 AM