DARWIN Nunez. -FOTO APF
DARWIN Nunez. -FOTO APF
Agensi

London: Bek kiri Liverpool, Andy Robertson menegaskan Liverpool tidak pernah bimbang mengenai kemampuan Darwin Nunez selepas pemain antarabangsa Uruguay itu meledakkan empat gol ketika mereka membelasah RB Leipzig dalam aksi pra-musim.

Robertson bagaimanapun memohon untuk penyokong bersabar dengan penyerang baharu The Reds itu.

Nunez sebelum ini dikritik penyokong kerana gagal menjaringkan gol dalam dua perlawanan pra-musim Liverpool dengan pengendali Liverpool Jurgen Klopp turut mempertahankan Nunez di atas kegagalan pemain itu sebelum ini.

Namun pemain baru Liverpool itu bangkit mempamerkan aksi hebat ketika menentang pasukan Bundesliga itu.

Bekas penyerang Benfica itu kemudiannya meledakkan empat gol selepas dimasukkan sebagai pemain gantian pada separuh masa pertama ketika mereka mencatatkan kemenangan selesa 5-0 di Jerman termasuk meledakkan hatrik dalam tempoh 20 minit selepas memulakan aksi.

Bercakap dalam laman web kelab, Robertson menggesa kesabaran daripada penyokong dengan Nunez yang tiba di Merseyside dengan harga €75 juta (RM341.08 juta).

"Ia memerlukan sedikit masa untuk membiasakan diri dengan pasukan dan pemain baru. Kami semua pernah melaluinya jadi ia tiada beza," kata bek kiri itu.

"Mungkin ada tekanan kerana apa yang sudah dibelanjakan tapi pada kami ia tidak penting. Tak mengapa dengan bayaran kecil, besar atau sebagainya.

"Kami tahu mereka perlukan masa untuk biasakan diri dengan sistem kami, membiasakan diri dengan corak permainan kami dan cara kami bermain.

"Tapi dia sudah menyesuaikan diri dan semakin cergas. Kita semua kini berada di pra-musim dan akan tiba masanya dia akan memberikan aksi terbaiknya terutama ketika di depan gol kerana sudah jelas ia adalah seorang penyerang.

"Kami gembira dengan kehadirannya dan tidak pernah meragui kemampuannya. Ia hanya tentang sedikit masa yang diperlukannya untuk dia menyesuaikan diri.

"Jadi bersabarlah kerana masa dia akan tiba dan semoga penyokong Liverpool juga akan memilikinya."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Julai 2022 @ 11:19 AM