PENYERANG Liverpool, Darwin Nunez (kanan) terlepas peluang menjaringkan hatrik ketika pasukannya tewas 0-1 kepada RB Salzburg. FOTO Agensi
PENYERANG Liverpool, Darwin Nunez (kanan) terlepas peluang menjaringkan hatrik ketika pasukannya tewas 0-1 kepada RB Salzburg. FOTO Agensi
Agensi

London: Liverpool beraksi di bawah kemampuan sebenar ketika tewas 0-1 kepada Red Bull Salzburg pada perlawanan persahabatan terakhir, hari ini, menjelang pertarungan Perisai Komuniti dengan Manchester City, Sabtu ini.

Pemain yang dikatakan menjadi sasaran Manchester United, Benjamin Sesko menjaringkan gol tunggal perlawanan di Austria, apabila Jurgen Klopp membariskan barisan kedua sebagai kesebelasan utama.

Pemain yang ditandatangani pada musim panas, Darwin Nunez adalah nama besar dalam kesebelasan utama the Reds dan dia berpeluang menjaringkan hatrik pada babak pertama, selepas menjaringkan empat gol menentang Red Bull Leipzig.

Percubaan terbaiknya selepas menerima umpanan pemain muda, Isaac Mabaya, sebelum penyerang Uruguay itu berpusing dan melakukan voli, tetapi bola terkena palang gol.

Nunez bersama Harvey Elliott, Naby Keita dan Mabaya mencipta beberapa ancaman sepanjang babak pertama, tetapi Salzburg jelas memiliki beberapa peluang menjaringkan gol.

Liverpool bernasib baik apabila percubaan Fernando tersasar walaupun gawang terbuka selepas sepakan Sesko ditampan penjaga gol.

Sesko yang menjadi duri dalam daging kepada Liverpool sepanjang babak pertama, berada dalam senarai penjaring apabila menewaskan Adrian hasil permainan satu dua dengan Noah Okafor.

Klopp menggantikan Nunez, Keita dan Milner pada awal babak kedua - barisan pemain dijangka diturunkan menentang Manchester City pada Sabtu ini.

Roberto Firmino, Andrew Robertson dan Tyler Morton kemudian dibawa masuk selepas rehat sebelum Liverpool memperkenalkan pemain ternama mereka Mohamed Salah, Luis Diaz, Thiago, Jordan Henderson, Virgil van Dijk, Joel Matip dan Trent Alexander-Arnold pada minit ke-60.

Mereka adalah barisan dijangka bermula apabila menentang City dan direhatkan ketika menentang Salzburg.

Persoalannya, siapakah pemain bakal menjadi penyerang utama bagi Liverpool.

Nunez bermain 45 minit pertama sebelum Firmino menggantikannya pada babak kedua.

Aksi Nunez masih tidak menentu dan Klopp mungkin memilih Firmino untuk menentang anak buah Pep Guardiola.

Jarang pemain dinilai dalam tempoh singkat seperti dialami Nunez, yang ditandatangani Liverpool dengan harga £85 juta (RM460.56 juta).

Penyerang Uruguay itu dilihat kurang keyakinan di depan gol pada aksi awal pramusim sebelum menjaringkan empat gol menentang RB Leipzig.

Namun, dia melepaskan peluang menjaringkan hatrik sepanjang babak pertama menentang RB Salzburg.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2022 @ 10:40 AM