YUSOFF Mahadi akan berbincang dengan Pan-gon. -FOTO NSTP
YUSOFF Mahadi akan berbincang dengan Pan-gon. -FOTO NSTP
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) enggan terburu-buru dalam mengumumkan pengganti Brad Maloney apabila sebaliknya akan menunggu kepulangan jurulatih skuad senior, Kim Pan-gon dari luar negara.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, pihaknya tetap akan mengambil pandangan Pan-gon berhubung individu tepat untuk mengisi jawatan jurulatih skuad bawah 23 (B-23) selepas Maloney melepaskan posisi itu.

Katanya, buah fikiran jurulatih dari Korea Selatan itu perlu kerana ia babitkan kesinambungan yang perlu wujud bermula dari skuad B-23 agar dapat selaras dengan skuad senior.

"Jawatankuasa Teknikal dan Pengarah Teknikal (Scott O'Donell) juga akan memberikan pandangan dia tentang perlantikan ini. Tentu sekali pemilihan ketua jurulatih B-23 akan membabitkan ketua jurulatih skuad negara, Kim Pan-gon.

"Seperti sedia maklum bahawa kita mahukan pasukan B-23 ini selari dengan skuad kebangsaan. Jadi, jawatankuasa teknikal dan jawatankuasa pasukan kebangsaan memang dalam peringkat perbincangan setakat ini.

"Tetapi 'coach' Kim Pan-gon masih belum balik, jadi kita tunggu Kim Pan-gon balik, diberitahu dalam sehari dua mungkin dia akan sampai ke sini semula.

"Mungkin akan ada perbincangan yang intensif bersama Kim Pan-gon selepas ini bagi menentukan hala tuju siapa yang patut menjadi ketua jurulatih supaya selari dengan pasukan kebangsaan.

"Kita tahu bahawa persiapan pasukan kebangsaan akan turut babitkan pemain B-23 ini, jadi kita mesti babitkan jurulatih skuad kebangsaan bagi sama-sama dalam menentukan siapa yang sesuai untuk menggantikan Brad Maloney.

"Waktunya (pengumuman rasmi) saya tak dapat nak bagi tahu sampai bila tetapi diharapkan seberapa cepat yang boleh. Kita pun tak mahu terlalu cepat sebab takut tersalah buat keputusan pula nanti. Jadi keputusan itu mahu seberapa cepat dan tepat," kata Yusoff yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan.

Setakat ini, terdapat hampir tiga nama disebut-sebut antaranya dua dari Korea Selatan iaitu Kim Dong-jin dan Kim Hak-bum, sementara seorang lagi adalah jurulatih B-19 negara, Hassan Sazali Waras.

Maloney melepaskan jawatan lebih awal selepas mencapai persetujuan bersama FAM susulan prestasi longlai skuad B-23 negara di tiga kejohanan iaitu Piala AFF di Kemboja, Sukan Sea Vietnam dan Piala AFC di Uzbekistan yang kesemuanya berlangsung dari Februari hingga bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2022 @ 2:07 PM