PENGARAH Teknikal FAM, Scott O'Donell. -FOTO Bernama
PENGARAH Teknikal FAM, Scott O'Donell. -FOTO Bernama
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Scott O'Donell memberi bayangan pengendali baharu skuad bawah 23 (B-23) tahun negara yang bakal dilantik mempunyai corak permainan sama seperti skuad senior Harimau Malaya bimbingan Kim Pan-gon.

O'Donell, 54, menegaskan adalah amat penting falsafah dan gaya permainan diseragamkan di mana Pan-gon cukup menekankan aspek permainan berintensiti tinggi dan pantas.

Ketika ditanya adakah calon itu daripada Korea Selatan, O'Donell memilih mengunci mulut namun dalam masa sama tidak menafikannya sekali gus bayangan sentuhan 'K-Pop' mungkin pilihan badan induk itu.

"Paling mustahak, kita mahu gaya permainan sama daripada skyad B-23 dan senior di mana kita tahu mereka (B-23) inilah yang akan memperkuatkan skuad senior nanti.

"Ia memang (calon jurulatih gaya permainan sama) perkara dititik beratkan. Tetapi saya tidak boleh nyatakan dari mana, kita tunggu saja pengumuman tidak lama lagi," katanya ketika ditemui Arena Metro.

Difahamkan, pengumuman jurulatih baharu itu akan dilakukan selewat-lewatnya hujung bulan ini selepas beberapa rundingan akhir dimuktamadkan.

Antara calon yang dilihat berpotensi dan pernah dilaporkan akhbar ini ialah bekas pemain kebangsaan Korea Selatan, Kim Dong-jin.

Namanya disebut-sebut susulan tersebarnya gambar bersama Pan-gon yang dikongsinya di laman sosial hujung bulan lalu.

Ketika ini, Dong-jin adalah penolong jurulatih di Kitchee SC dan disifatkan sebagai antara pengendali terbaik untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Brad Maloney yang melepaskan jawatannya pertengahan bulan lalu.

Malah selain Dong-jin, turut dikaitkan seorang lagi jurulatih dari Korea Selatan, Kim Hak-bum serta dua calon tempatan iaitu jurulatih B-19 negara, Hassan Sazali Waras dan pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2022 @ 1:07 PM