PAN-gon julang imej bola sepak Malaysia.
PAN-gon julang imej bola sepak Malaysia.
Syazwan Msar


Kelana Jaya: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan pengendali Harimau Malaya Kim Pan-gon buat masa ini hanyalah milik pasukan negara sekali gus menolak andaian jurulatih terbabit akan berhijrah ke tempat lain dalam tempoh terdekat.

Situasi terbabit disahkan Timbalan Presiden (FAM) Datuk Mohd Yusoff Mahadi yang turut menafikan bahawa Persatuan Bolasepak Korea Selatan (KFA) cuba memancing jurulatih terbabit untuk kembali ke pangkuan mereka.

Beliau berkata, FAM ada perancangan tersendiri bagi memastikan peningkatan skuad Harimau Malaya dibawah kendalian Pan-gon dapat diteruskan pada aksi kelayakan nanti.

"Buat masa sekarang tiada permintaan rasmi daripada KFA untuk mendapatkan semula khidmat Pan-gon untuk dipanggil semula ke Korea Selatan tatkala perlawanan (kelayakan Piala Dunia) menentang Oman terlalu hampir.

"Malah, KFA yang mencalonkan Pan-gon kepada kami sebelum ini dan saya rasa tak mungkin pihak mereka panggil kembali ketika usaha serta perubahan yang dibawanya agak ketara," katanya, pada sidang media mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM Kali Ke-10 Bagi penggal 2021-2025, di Wisma FAM, di sini, sebentar tadi.

Sementara itu, Mohd Yusoff turut mengesahkan pengendali import itu sudah menandatangani kontrak lanjutan dengan perancangan jangka panjang sudah pun dilakukan.

"Kita juga sudah menandatangani kontrak lanjutan dengan Pan-gon serta ada perancangan jangka panjang dengan Pan-gon. "FAM harap kita dapat teruskan momentum pada kempen Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 nanti," katanya.

Sebagai rekod, Pan-gon bersama skuad Harimau Malaya mencipta sensasi tersendiri apabila mengikat Korea Selatan 3-3 pada aksi peringkat kumpulan saingan Piala Asia 2023 di Qatar bulan lalu.

Prestasi tidak konsisten skuad Taeguk Warriors yang tersingkir pada peringkat separuh akhir juga menyaksikan masa depan ketua jurulatih, Jurgen Klinsmann menjadi tanda tanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2024 @ 3:29 PM