JORDI Amat diperkenalkan secara rasmi oleh JDT. FOTO JOHOR Southern Tigers
JORDI Amat diperkenalkan secara rasmi oleh JDT. FOTO JOHOR Southern Tigers
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Bintang baharu Johor Darul Ta'zim (JDT), Jordi Amat menegaskan pilihannya menyertai kelab terbabit adalah kerana fasiliti dan kemudahan moden yang tidak terdapat di mana-mana kelab sebelum ini termasuk di Eropah.

Jordi, 30, yang sudah merekodkan sejumlah 256 penampilan bersama enam kelab terkemuka Eropah dari 2010-2022 adalah aset terbaharu JDT bagi memperkuatkan benteng pertahanan pasukan itu.

Antara kelab La Liga di Sepanyol yang pernah mendapatkan khidmatnya seperti Espanyol, Rayo Vallecano dan Real Betis selain kelab Liga Perdana Inggeris, Swansea City dan kelab Belgium, KAS Eupen.

Walaupun sudah beraksi agak lama di Eropah, namun Jordi mengakui fasiliti di JDT lebih mengujakan dirinya sekali gus membuatkan dia memilih menyertai juara lapan kali berturut-turut Liga Super Malaysia itu.

"Johor hanya dua jam perjalanan dari Indonesia menggunakan jalan udara, dan kelab itu salah satu daripada 16 terbaik di ACL (Liga Juara-Juara Asia) dan dengan undangan dari @hrhcrownprinceofjohor (Tunku Ismail), saya dapat mengunjungi semua fasiliti mereka.

"Saya jamin kepada semua bahawa fasiliti seperti ini belum saya pernah temui dalam pasukan saya sebelumnya," katanya di laman Instagram miliknya.

Semalam, JDT secara rasmi mengumumkan Jordi sebagai pemain baharu yang ditandatangani mereka selepas mengikat bekas pertahanan KL City, Daniel Ting.

Selain itu, Jordi turut menafikan tuduhan bahawa dia ingin mendapatkan pasport Indonesia hanya kerana mahu menjadi pemain import kuota Asia untuk JDT.

"Saya ingin semua orang tahu bahawa sebelum saya mengambil keputusan ini, saya juga mendapat beberapa tawaran dari beberapa liga besar dari negara lain.

"Saya juga ingin mengesahkan bahawa nenek saya lahir, membesar dan tinggal di Makassar, Indonesia, di mana saya masih mempunyai keluarga disana.

"Saya sangat bangga untuk mewakili pasukan kebangsaan Indonesia. Matlamat saya untuk membantu pasukan kebangsaan dengan kerja keras dan pengalaman saya," katanya.

Terdahulu kecoh di laman sosial apabila netizen yang dipercayai penyokong bola sepak Indonesia enggan Jordi menyertai JDT.

Malah, ada yang mencadangkan agar permohonan Jordi untuk menjadi pemain naturalisasi negara itu dibatalkan bagi menghalang penghijrahannya ke JDT.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2022 @ 4:25 PM