ARIF Aiman (tengah) melanjutkan kontrak bersama JDT sehingga 2028. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
ARIF Aiman (tengah) melanjutkan kontrak bersama JDT sehingga 2028. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kelab-kelab gergasi Asia termasuk dari Korea Selatan mahupun Jepun yang sebelum ini berhasrat memancing bintang bola sepak Malaysia, Arif Aiman Hanapi tidak kesampaian apabila pemain sayap itu terus menjadi 'hak milik' Johor Darul Ta'zim (JDT).

Ia selepas JDT mengumumkan Arif Aiman sah melanjutkan kontrak dengan juara bertahan Liga Super 10 kali berturut-turut itu sehingga 2028.

Arif Aiman, 21, sendiri mengakui gembira dengan lanjutan kontrak itu dan berazam untuk terus memacu skuad Harimau Selatan menggondol lebih banyak gelaran selepas ini.

"Alhamdulillah. Saya berbesar hati mendapat peluang bersama JDT untuk beberapa tahun lagi. Saya bangga dan gembira berada di kelab ini sejak hari pertama.

"Saya akan cuba menjadi lebih baik dari tahun ke tahun, InsyaAllah. 2023 adalah tahun yang memberikan lebih banyak kenangan yang tidak dapat saya lupakan bersama kelab ini," katanya di laman sosial miliknya.

Dalam perkembangan sama, dia yang juga produk asal Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari akui berterima kasih kepada pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di atas peluang diberikan selama ini.

"Terima kasih Tunku (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) atas segalanya," katanya yang juga pemenang dua kali gelaran Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia pada 2021 dan 2022.

Untuk rekod, Arif Aiman melakukan debut dengan skuad senior JDT pada Mac 2020.

Dia mula menyertai Akademi JDT pada 2018 dan dinaikkan pangkat dari pasukan JDT IV, JDT III dan JDT II hingga ke skuad senior.

Sepanjang tempoh itu, pemain kelahiran Pahang itu sudah meledak 24 gol dan melakukan 19 bantuan gol buat JDT.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2023 @ 2:46 PM