JORDI Amat. FOTO JOHOR Southern Tigers
JORDI Amat. FOTO JOHOR Southern Tigers
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Status mahkota pemain termahal Liga Malaysia (Liga M) musim ini terus berubah apabila kini ia milik pemain pertahanan baharu Johor Darul Ta'zim (JDT), Jordi Amat dengan nilai RM4.5 juta atau lebih tepat 1 juta Euro.

Tanda harga bekas tonggak Espanyol, Rayo Vallecano, Real Betis dan Swansea City itu dipaparkan di laman sesawang Transfermark yang merekodkan nilai semasa pemain bola sepak di seluruh dunia.

Ternyata nilai berkenaan cukup tinggi dan kesungguhan JDT mengikat Jordi menyaksikan Liga M turut menerima impak positif secara tidak langsung.

Ia diakui ejen terkenal negara, Effendi Jagan Abdullah yang mengakui tindakan berani skuad Harimau Selatan melabur ke atas pemain warisan Sepanyol-Indonesia itu menaikkan imej liga tempatan di mata dunia.

Katanya, kehadiran 'marquee player' dalam pasukan JDT akan membuatkan ramai pemain ternama dunia menoleh ke arah kelab terbabit selain jenama Liga M turut mendapat tempias.

"Nilai Jordi itu sememangnya tepat memandangkan dia adalah pemain yang sudah beraksi cukup lama di La Liga dan EPL (Liga Perdana Inggeris).

"Ini langkah bijak daripada JDT kerana ia akan menaikkan nama kelab secara tidak langsung dan juga Liga M, di mana akan lebih ramai pemain dunia mahu mengetahui mengenai Malaysia dan juga JDT.

"Bila ramai pemain ternama mahu datang ke sini (Liga M), penaja luar juga akan bertambah dan mula meninjau peluang untuk menaja.

"Jadi macam saya kata tadi, walaupun JDT ambil pemain berprofil tinggi untuk kelab mereka, tetapi liga kita juga akan dapat tempias kerana semua ini ada rantaian yang berhubung kait antara satu sama lain.

"Jadi saya harap, kelab-kelab lain selain JDT harus bergerak secara profesional seperti yang dilakukan JDT agar liga kita terus berkembang jadi industri yang besar," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Semalam, JDT mengumumkan kejayaan mengikat Jordi yang dijangka mengisi kekosongan ditinggalkan tonggak pertahanan tengah dari Brazil, Mauricio Dos Santos.

Sebelum ini, rakan sepasukan Jordi iaitu Fernando Forestieri (RM4 juta) adalah pemain termahal Liga M diikuti pemain Selangor FC, Hyuri Henrique (RM2.5 juta); pertahanan Sabah FC, Jackson de Souza (RM2.1 juta) dan penyerang JDT, Bergson da Silva (RM2 juta).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2022 @ 10:32 PM