JORDI (kanan) menegaskan setiap pemain berada dalam keadaan motivasi yang tinggi. FOTO RIZAR MOHD NOOR
JORDI (kanan) menegaskan setiap pemain berada dalam keadaan motivasi yang tinggi. FOTO RIZAR MOHD NOOR
Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: Kapten Johor Darul Ta'zim (JDT), Jordi Amat enggan kecewa apabila membuat penampilan pertama dalam pentas final berdepan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam esok.

Pemain naturalisasi Indonesia itu, berkata ketika JDT menang 6-1 menewaskan KL City FC, baru-baru ini, ada perkara yang dibincangkan selepas mereka mampu menjaringkan satu gol dan senario itu cukup mengecewakan barisan pertahanan JDT.

"Agak terkilan selepas KL City mampu jaringkan gol dan situasi itu sudah dibincang bersama rakan sepasukan termasuk staf kejurulatihan bagi memastikan ia tidak berulang kerana dalam aksi final nanti apa sahaja boleh berlaku dan kami berazam mahu pastikan benteng akan terus kebal.

"Untuk aksi final, kami mahu mengawal permainan dari minit pertama sehingga tamat perlawanan kerana ia penting kerana kekuatan KL City terletak kepada set piece dan serang balas yang boleh mengundang bahaya buat JDT.

"Kami perlu meningkatkan lagi konsentrasi dan fokus apabila beraksi nanti dan mengekalkan pendekatan taktikal yang sering digunakan dalam aksi final malah mengekalkan corak permainan berintensiti tinggi selain transisi dan umpanan bola yang lebih tepat," katanya pada sidang pra perlawanan final Piala FA di bilik sidang media, Stadium Sultan Ibrahim, petang tadi.

Jordi menegaskan setiap pemain berada dalam keadaan motivasi yang tinggi dan berharap mampu menterjemahkan aksi final itu dengan kemenangan tatkala kelebihan beraksi di laman sendiri dan beraksi di hadapan lebih 80 peratus penyokong JDT.

Ditanya mengenai pemain skuad The City Boys yang dianggap berbahaya yang mampu beri ancaman terhadap benteng JDT, Jordi tanpa berselindung menegaskan barisan tengah pasukan lawan mampu memporak-peranda benteng Harimau Selatan.

"Selaku pemain pertahanan, saya akan memfokus kepada pemain tengah KL City yang mampu melakukan umpanan mengelirukan malah di posisi sayap kiri dan kanan juga perlu diawasi kerana agak laju dan tidak boleh biarkan penyerang mereka bergerak bebas.

"Saya jangkakan ia final yang menarik dan kami akan turun habis-habisan beraksi dengan corak permainan yang lebih mantap dan paling penting mengawal permainan dari awal malah kami mahu tamatkan permainan dalam tempoh 90 minit tanpa tambahan masa," kata Jordi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2023 @ 3:35 PM