PEMAIN Urawa, David Moberg Karlsson (kiri) menjaringkan gol menerusi sepakan percuma ketika berdepan JDT. FOTO AFP
PEMAIN Urawa, David Moberg Karlsson (kiri) menjaringkan gol menerusi sepakan percuma ketika berdepan JDT. FOTO AFP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kegagalan diperingkat 16 terbaik Liga Juara-Juara Asia (ACL) bukanlah penamat buat Johor Darul Ta'zim (JDT) sebaliknya mempunyai potensi untuk meraih lebih banyak kejayaan selepas ini.

Keyakinan itu dinyatakan tonggak pertahanan JDT, Jordi Amat yang percaya pasukannya memiliki ramuan untuk menyerlah dan berjaya dalam saingan ACL di masa depan.

Jordi, 30, yang berpengalaman luas di pentas Eropah dan dianggap antara pertahanan terbaik di saingan La Liga mengakui anak didik Hector Bidoglio memiliki kualiti untuk meningkat.

"Perlawanan yang sukar semalam (kelmarin). Bukan hasil yang kita mahukan. Kami akan terus berlatih bersungguh-sungguh untuk menambah baik.

"Pasukan ini berpotensi untuk mencapai perkara yang hebat," katanya di laman sosial miliknya selepas kekalahan skuad Harimau Selatan di kempen ACL itu.

Dalam aksi yang berlangsung di Saitama, Jepun itu, JDT tumbang 0-5 di tangan Urawa Reds sekali gus mengakhiri impian wakil negara itu untuk mara ke suku akhir.

Begitupun bukan mudah berdepan Urawa Reds yang pernah menjuarai ACL sebanyak dua kali apabila kelab Jepun itu nyata mendominasi saingan sejak awal.

Apapun, pencapaian JDT sebagai pasukan pertama dari Malaysia layak ke pusingan 16 terbaik saingan elit itu sudah dianggap sebagai satu sejarah yang patut dibanggakan.

JDT yang juga juara bertahan lapan kali berturut-turut Liga Super itu melakar sejarah apabila melepasi peringkat kumpulan ACL buat pertama kali selepas menjuarai Kumpulan I pada April lalu.

JDT mengumpul 13 mata daripada enam aksi peringkat kumpulan untuk mengecewakan kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai, kelab China, Guangzhou FC dan Kawasaki Frontale dari Jepun

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2022 @ 1:09 PM