Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Bagi menyemarakkan lagi pentas Liga Malaysia (Liga M) musim ini, Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd melancarkan koleksi jersi away terbaharu di pekarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, hari ini.

Kombinasi warna keramat hitam terus menjadi pilihan skuad dari Pantai Timur itu yang menggunakan jenama antarabangsa, Umbro dengan harga RM119 sehelai.

Majlis pelancaran disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, merangkap Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Tengku Farouk Hussin Tengku Abdul Jalil yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif TFC Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh dan Pengurus Jenama Umbro, Khairul Asyraf Ahmad.

Ab Rasid berkata, pemilihan jersi itu sebagai penghargaan kepada bekas penyerang Terengganu dan kebangsaan, Mohamad Ashari Samsudin atas sumbangannya kepada pasukan apabila meledak 110 gol sepanjang 222 penampilannya.

"Jersi ini dapat membawa aura tersendiri kerana ia adalah jersi memaparkan unsur dan motif elemen utama merujuk kepada salah seorang bekas pemain Terengganu yang diangkat sebagai antara legenda terkenal dengan gelaran 'Silent Killer'.

"Dengan menggunakan warna rasmi kelab serta beberapa motif merujuk kepada pemain itu, semestinya jersi ini bakal menjadi salah satu koleksi wajib dimiliki setiap penyokong pasukan ini.

"Kami harapkan pelancaran jersi terbaharu ini mampu menyuntik lagi semangat dan motivasi pemain untuk berjuang habis-habisan dalam kancah Liga M musim ini," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Koleksi Jersi Away Terengganu FC 2022, hari ini.

TENGKU Farok Hussin (tiga dari kiri) bersama Ab Rasid menunjukkan jersi 'away' baharu Majlis Pelancaran Jersi 'Away' Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, hari ini. FOTO GHAZALI KORI
TENGKU Farok Hussin (tiga dari kiri) bersama Ab Rasid menunjukkan jersi 'away' baharu Majlis Pelancaran Jersi 'Away' Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, hari ini. FOTO GHAZALI KORI

Terdahulu TFC Sdn Bhd dengan kerjasama Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd menganjurkan mini karnival bagi membangkitkan aura peminat setia bola sepak negeri.

Karnival sehari itu turut dimeriahkan dengan kehadiran artis terkemuka iaitu Syafiq Farhain A M Salim dan Yonnyboii selain permainan e-sukan, shoot on goal, cabutan bertuah dan aksi persahabatan antarabangsa TFC menentang kelab dari Singapura, Balestier Khalsa FC yang bakal berlangsung pada 9 malam ini.

Perlawanan ini bukan sahaja untuk memastikan pasukan TFC sentiasa berada dalam momentum

terbaik bagi saingan bakal berlangsung tidak lama lagi, malah meraikan penyokong yang hadir pada hari karnival ini yang dibawakan khas oleh AL-Ikhsan Sports.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2022 @ 7:30 PM