KPAH Sherman (kiri) dan Habib Haroon dikekalkan bersama TFC. FOTO TFC
KPAH Sherman (kiri) dan Habib Haroon dikekalkan bersama TFC. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Tiada pemain import Terengganu FC (TFC) dan Terengganu FC II (TFC II) mengucapkan selamat tinggal kepada kedua-dua pasukan itu ketika jendela kedua perpindahan pemain dibuka bermula 28 Mei hingga 24 Jun ini.

Sebaliknya lima pemain import yang didaftarkan bersama TFC dan empat dengan pasukan TFC II lega apabila mereka dikekalkan sehingga kontrak masing-masing berakhir.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh menjelaskan, pihak pengurusan setakat ini tidak bercadang untuk merombak barisan pemain import kedua-dua pasukan itu.

"Tiada perubahan pemain import buat kedua-dua skuad, sebaliknya mereka kekal bersama pasukan masing-masing sehingga kontrak berakhir dalam mengharungi kancah Liga Super dan Liga Perdana musim ini.

"Bagaimanapun kita meletakkan harapan yang tinggi agar sembilan pemain import yang didaftarkan itu mampu memberikan impak dan persembahan terbaik buat pasukan dalam misi menggapai impian yang disasarkan.

"Cuma pemain tempatan ada sedikit perubahan terutama di posisi sayap bagi memastikan pasukan benar-benar mantap," katanya ketika dihubungi.

Terdahulu TFC mengikat bekas pemain sayap Selangor FC, Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim secara pinjaman selama tempoh enam bulan bagi memperkasakan lagi posisi berkenaan.

Musim ini TFC mengikat lima pemain import iaitu pemain pertahanan kelahiran Senegal, Pape Diakite, Manuel Ott (Filipina), Kpah Sherman (Liberia), Kipre Tchetche (Ivory Coast) dan pemain tengah kelahiran Bahrain, Habib Haroon.

Manakala skuad 'adik', TFC II mengekalkan empat pemain import termasuk penjaring terbanyak musim lalu dalam saingan Liga Perdana, Jordan Mintah (Ghana), Luke Woodland (Filipina), Argzim Redzovic (Montenegro) dan kapten skuad kebangsaan Namibia, Petrus Shetembi.

Berdasarkan kedudukan terkini, TFC yang baharu beraksi empat perlawanan menghuni di tangga kedua tercorot Liga Super dengan mengutip enam mata manakala TFC II menghuni di tangga ketiga Liga Perdana dengan mengumpul 19 mata hasil sembilan perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2022 @ 1:07 PM